Monday, June 22, 2009

Gempur di Manek Urai

Aku berulang-alik ke Manek Urai membantu apa yang patut. Malam tadi aku bersama 3 orang ahli usrahku ke Manek Urai untuk mendengar ceramah dari Tok Guru, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ustaz Nasuruddin dan Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw. Lantaran kelewatan turun dari rumah kami sampai sejurus Tok Guru berdoa. Tapi kami teruskan langkah untuk melihat keadaan di sana. Pendengar yang terlampau ramai, dalam anggaranku seramai 5 ribu orang atau lebih dari anggaran tersebut.


Kalau melihatkan kehadiran rakyat malam tadi aku terasa ingin meletakkan target untuk menang, tetapi usaha dahulu baru kita boleh bertawakkal kepada Allah Taala. Sekarang masa untuk berusaha berlipat ganda untuk memastikan kemenangan PAS di Manek Urai. Kami yang berada di bilik gerakan Muslimat Negeri memastikan program yang dilaksanakan oleh mas'ul UPU oleh kawasan-kawasan yang bertugas. Aku percaya dengan semangat kerja yang dilakukan oleh muslimat mampu menghasilkan natijah yang baik.

Semangat yang ditunjukkan oleh petugas muslimat tidak terlawan oleh petugas muslimin sebenarnya, bukan bermaksud untuk memuji tetapi kenyataan yang perlu diterima.. Tugas muslimat ini yang menjayakan PAS di Malaysia umumnya dan Kelantan khususnya. Faktor ziarah merupakan faktor kemenangan kepada kita. Kepada mahasiswa yang ingin membantu tugas-tugas muslimat bolehlah belajar dari muslimat PAS khususnya. Tugas yang berat tapi mudah atau mudah tapi payah.

Kita belajar dan berlatih dan jangan pandai mengkomen itu dan ini, suasana yang kita lihat bukan seperti yang kita fikirkan. Bukan tugas yang mudah tetapi kita turut sama bergandingan untuk memastikan kemenangan ini.

Sunday, June 21, 2009

Suasana yang tidak sama seperti dibaca

Fiqh al-waqi' yang pernah kupelajari sebelumnya merupakan satu pelajaran yang amat berguna buat diriku sebenarnya. Bagaimana untuk bergerak apabia pulang ke tanah air bukan sepertimana yang dibayangkan dalam kepala, bukan senang sebenarnya.Biasa sahabat yang sama-sama belajar disana mengatakan tidak payah untuk berada dalam masyarakat asal kita ada ilmu untuk diberikan. Tetapi ayat tersebut tidak dilaksanakan sekelmbalinya ke tanah air, mereka yang hebat di persada kampus tetapi hanyut diarus pekerjaan, masalah dalaman dan ketidakmampuan untuk berada dalam masyarakat.Maka suara yang hebat itu turut hanyut bersama arus pembangunan negara.

Aku tidak merasa untuk menyalahkan tetapi terasa kesal juga, aku memahami bagaimana untuk hidup sebagai anak, ahli parti, keluarga dan ahli masyarakat. Bukan suatu perkara yang mudah, untuk bergerak tetapi menolak tawaran sebagai ahli kerajaan (kerja kerajaan). Memang susah kerana perlu berdepan dengan keluarga dan kewangan tentunya. Pernah juga ibu aku berkata, ijazah tapi gaji tidak samapai tahap ijazah. Terasa juga, tetapi buat masa ini aku tidak pernah lagi terqada' untuk memberikan sedikit keperluan kepada orang tuaku pada setiap bulan. Bagiku biar sedikit tetapi itu adalah berkat untuk kuberikan sebagai tanda terimakasihku kepada orang tuaku atas jagaan mereka terhadapku. Biar dengan gaji yang sedikit tetapi kerja buatku lillahitaala. Dan tidak pernah merasa penat demi melihat Islam dengan bawaan PAS tetapi hidup di Malaysia dan Kelantan khususnya.

Dalam setiap jemaah pastinya adalah pertelingkahan pendapat, tetapi itu bukanlah perpecahan tetapi penyatuan, setiap ujian adalah hikmat yang tersembunyi. Sepertimana yang kita alami, sentiasa bertelingkah dalam menegakkan hujjah dan idea masing-masing tetapi kita tidak bertelingkah dan berbalah diluar perbincangan atau mesyuarat. Begitu juga dengan pimpinan PAS, ada pendapat dari pelajar yang masih belajar di Mesir berkata atau menulis yang aku sendiri tidak bersetuju, mampu mengeluarkan apa yang dipelajarinya atau ditarbiah di sana tetapi pandai untuk mengeluarkan zhonnya kepada pimpinan, siapa dia dan siapa pimpinan tersebut. Kita bukan pimpinan, apa yang dikelaurkan oleh pimpinan cuba kita teliti, kita hanya askar yang mengikut arahan. Mungkin askar atau kita hanya pemerhati di luar pagar, melihat orang berbincang dan berbalah tetapi kita tiada hak untuk menegah perbincnagan atau pergaduhan tersebut. Kerana kita yakin pimpinan berbalah demi kesatuan yang dipertahankan dan Islam yang dijunjung. Mereka dipilih oelh ahli (perwakilan) kita hanya pemerhati di dewan atau di luar dewan. Sikapku hanya melihat dan memerhati, alhmadulillah buat masa ini aku tetap husnu zhon kepada pimpinan.

Soal perpaduan atau sebagainya, aku secara peribadi hanya memerhati, kira untuk mengeluarkan pandangan, pastinya aku tidak berani. Serahkan sahaja kepada pimpinan, kita bekerja yang sepatutnya kita lakukan. Dan pelajar disana lakukan apa yang pimpinan arahkan, jangan bersoal-jawab dengan arahan yang dikeluarkan. Wala' akan cedera kiranya mempersoalkan arahan. Kiranya tidak mampu, tolak, tetapi lihat pada situasi dan keadaan, bincangkan dan syurakan bersama. Lontaran demi lontaran kata yang dikeluarkan oleh orang yang bersemangat biasanya tidak berbekas. Kenapa aku berani keluarkan padangan ini kerana aku telah bersama orang-orang yang bersemangat (terlampau) tetapi beku di medan. Apa hendak dikata kerana pilihan di tangan sahabat. Asal baih yang dilafazkan itu jangan turut beku bersama semangat yang beku itu. Pastinya di tanya Allah janji-janji yang dilafazkan satu ketika dahulu. Semangat beserta ilmu yang ada dan perbuatan lakukan selaras dengan keadaan yang kita muqimkan.

Sunday, June 14, 2009

seputar muktamar



menghadapi rintangan

Aku membaca satu email dari pelajar mungkin yang bakal grad dari pengajiannya mengutarakan kebimbangan lantaran perkara yang membimbnagkan berlaku dalam PAS dan terasa untuk berniat untuk tumpukan kepada alam pekerjaan semata tanpa keterlibatan dalam parti. Begitukah sebenar situasi yang berlaku, kiranya telah ditarbiah dan diasuh untuk berada di medan tetiba melihat medan sedang diserang dari dalam dan luar dari musuh yang tersembunyi dan zahir tetiba diri merasa kecut untuk mengahdapi yang sebenar.


Untuk apa berada dalam pentarbiahan kiranya diri dan jiwa tidak mampu menghadapi rintangan, kita tidak akan tahu setara mana kemampuan diri sebelum diri diuji dengan ujian-ujian yang mematangkan dan memasakkan kita dengan etika kepartian. Mana ada parti Islam yang tidak dilanda musibah, hatta umno turut berdepan dengan masalah. Tegakah kita berada di tempat yang selamat (kononnya) dengan tumpuan kepada keluarga dan makan gaji dan tidak langsung menolong Islam sedangkan dahulu kita pernah berbaiah atas namaNya untuk menolong Agama Allah. kita pernah bersumpah dan jangan sampai dimakan sumpah sendiri.

Apa yang sedang berlaku adalah ujian untuk kita, maka jangan cepat melatah apabila melihat perkara baru dalam parti, kita sebagai budak kecil perhati dan bersuara apabila diperlukan, Ringankan tulang, sanggup berada dimana-mana kondisi hatta sebagai pemandu, mudah diminta tolong, sentiasa bertanya jika diperlukan, ringan mulut, sentiasa senyum dan jangan cepat mengata sebelum kita ketahui sebab yang berlaku.

Mungkin tips diatas tidak berpadanan yang sahabat perlukan tetapi cubalah kita merai orang maka orang akan merai kita. Cuba lakukan yang terbaik untuk orang pastinya Allah akan berikan yang paling terbaik untuk kita.

Monday, June 8, 2009

menilai diri

Selesai sudah muktamar ini pada kali ini dengan pimpinan yang baru. Semoga kerja-kerja yang akan dilakukan selepas ini semakin mantap. Dalam Muktamar Muslimat baru-baru ini aku melihat dan memerhati keadaan dan suasana di muktamar yang berlangsung di Dewan Bankuet, MBSA, Shah Alam. Betapa canggihnya bangunan dan kami tersesat untuk mencari bangunan MBSA. Walau bagunannya tinggi dan tersergam indah tapi aku bukan orang tempatan yang mengenali tempat tersebut. Pada permulaan masuk ke Shah Alam kami mengambil masa untuk sampai ke destinasi. Pengalaman yang paling berguna, dan penganjur tidak meletakkan bendera PAS yang banyak menyebabkan kesesatan tersebut berlaku. Sepatutnya sebagai penganjur perlu meletakkan lambang PARTI PAS sempena muktamar yang julung kali diadakan setiap tahun. Bukan semua perwakilan dan pemerhati dari negeri Selangor atau Shah Alam.

Masalah seumpama ini perlu diberi perhatian oleh negeri-negeri lain kiranya tahun hadapan menjadi tuan rumah bagi muktamar PAS. Ketika Kelantan menjadi penganjur kita buat sehabis yang baik, terkadang menyediakan rumah tumpangan untuk ajk muslimat, tapi tidak berlaku sebaliknya. Benar, untuk praktikkan hadis nabi agar menghormati tetamu amat susah untuk dilaksanakan kiranya kita tidak dibiasakan untuk melakukannya. Memang agak payah juga untuk menjadi penganjur segala perkara perlu dititikberatkan, tetapi bila lagi mengambil pengalaman untuk menjadi tuan rumah pada sesuatu keraian.

Dan masa inilah kita menilai dan memerhati keadaan, memerhati pemerhati dan perwakilan mengambil bahagian. Kini bekerja dan terlibat dengan parti aku akan pastikan tidak akan 'miss' muktamar PAS kerana sudah beberapa kali aku terlepas mengikutinya. Aku tidak lagi diberi kesempatan untuk menjadi perwakilan tetapi kiranya aku berpeluang aku akan pastikan paling kurnag untuk kemukakan soalan atau bahas ucap tama. Tapi perasaan tersebut tidak lagi berada di tahap untuk kearah itu. Aku menjadi pemerhati atas segalanya.

Tuesday, June 2, 2009

berkhutbah?

Muktamar menjelang kembali kali ini. Tahun lepas aku ke Perak bersama muslimat negeri hanya sebagai pemerhati dan kali ini juga sebagai pemerhati. Kalau diberi peluang untuk menjadi perwakilan apa yang perlu kulakukan? Biasanya seorang perwakilan perlu bercakap?paling kurang. Aku ingat semasa aku menjadi perwakilan semasa mewakili rumah negri aku pastikan mengeluarkan suaraku, paling kurang untuk membahaskan usul yang dikemukakan. Dan dari situ aku mula belajar bercakap (depan khalayak).

Tetapi apabila pulang aku terpaska bermula dari bawah untuk belajar bercakap tentunya di khalayak ramai. Sebab 1-aku perlu perlahankan intonasiku 2-merendahkan sedikit logik-logik ilmu yang dipelajari (jangan terlalu gunakan falsafah) 3-kuasai loghat tempatan 4-menguasai atau mengetahui situasi masyarakat setempat.

Tetapi tidak rugi sebenarnya, sekurangnya aku tidak terketar untuk bercakap, perkara-perkara di atas semestinya aku pelajari atau perlu lagi menambahkan thaqafah(pengetahuan) dalam bidang-bidang lain.

khutbah? aku pernah ada madah dalam khutabah, pada tahun 3 semasa aku di al-Azhar, memang menarik. rupanya praktikalnya beberapa tahun selepas itu. Orang yang sedap berceramah tidak semestinya hebat dalam perkara yang lain. Terkadang kita rasa hendak melantik seseorang itu untuk menjawat jawatan tertinggi lantaran kehebatannya dalam berceramah. Sedangkan dia sebenarnya agak lemah dalam mentadbir. Apa yang keluar dari mulut terkadang tidak serupa yang yang teori serta praktikal. Itu adalah lumrah alam yang Allah menjadikan manusia bukan seratus peratus hebat dalam semua perkara. Maka kelemahan yang ada perlu diakui, susah sangat ke nak mengatakan aku tidak pandai dalam sesuatu perkara, atau kita hanya pandai tetapi sebenarnya tidak.

Tidak rugi untuk orang mengetahui kelemahan kita, kerana dengan kelemahan tersebut moga-moga ada sahabat yang tolong membetulkan. kiranya kita terlampau payah untuk menerima mungkin kita tiada sahabat yang bakal merubah kita kearah kebaikan.

Tidak payah untuk mempelajari sesuatu asalkan kita yakin untuk melakukannya. Begitu juga ilmu bercakap atau berkhutbah di depan khalayak. Jika kita rsa amat takut atau tidak ada idea untuk berkhutbah?maka usahakan untuk menjadi berani. Carilah bagaiaman klunya dan ianya berasa di tangan anda.