Tuesday, April 14, 2009

Hari-hari adalah hari untuk berubah

Moga-moga hari ini adalah hari yang terbaik dari semalam dan esok lebih terbaik dari hari ini. Tahniah kepada yang selalu memanfaatkan masanya untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk Islam. Berbuat baik kepada keluarga, mencari rezeki untuk keluarga, berbuat baik sesama insan, moga hari ini adalah hari perubahan demi sebuah perubahan pada sebuah ukhuwwah yang terbaik kita miliki.

Rasa sukar untuk berubah, tapi berjihad untuk berubah, pasti Allah akan menolong dan membantu kepada hambaNya yang berdoa dan memiliki azam yang berterusan.Faiza azamta fatawakkal 'alallah (Apabila kamu berazam/cita-cita maka tawakkal kepada Allah).

Kiranya ada ujian dan mehnah yang perlu diharungi, maka itu adalah jihad yang perlu dilalui demi sebuah perubahan. Kita pastinya tidak diduga seumpama orang dahulu, seperti diletakkan batu di dada, digunting kulit, dicabut kuku dan seksaan-seksaan yang terkadang tidak terfikir di minda, namun itu adalah sennarai yang pastinya kita mengalami kecuali ujian hati dan perasaan. Kesediaan untuk merelakan, meminta maaf, mengucap terima kasih, mengakui kesalahan dan contoh-contoh yang menjatuhkan ego pastinya.

Aku sebagai penulis pastinya diuji dengan kalamku, moga aku dibantu jua oleh sahabat sentiasa ditegur dan ditegur moga aku berjalan dengan langkahan yang baik bukannya senget tapi tetap tidak ditegur sahabat. Siapa yang menegur itu adalah sahabat yang menyayangikeranan berlandaskan ukhuwwah fillah.

Monday, April 13, 2009

Apa itu cinta

Ketika aku sedang menuntut di Azhar as-syarif pernah kami berbincang tentang cinta. Aku bukannya ahli dalam alam percintaan monyet, hanya melihat dan memerhati kawan-kawan menghadapinya, dan sememangnya aku tidak pandai bermuamalat dengan kaum lelaki lantaran belajar di sekolah perempuan dan hanya bergaul dengan kaum perempuan. Masalah tersebut dapat diatasi semasa aku berada di Mesir, bergaul dengan kalangan ahli KPKM (Keluarga Pelajar Kelantan Mesir)dengan sebaiknya, walau ada tergigit lidah, kerana dikatakan aku kasar. Biasalah dalam proses kebaikan akan terdapat teguran untuk menjadikan kita sebaiknya.

Aku membaca dan bertanya kepada sahabat kerana house-mate aku ditimpa cinta kepada lainan jantina ini, jadi aku bertanyakan sahabat aku tentang masalah yang dihadapinya, mungkin tiba masa untuk sahabatku itu mengalami perasaan kepada jantina yang berlainan. Disini aku catatkan nukilan dari Imam Ghazali:
"Apabila seseorang itu mencintai orang lain kerana Allah, maka hendaklah apabila membencinyakerana Allah juga. Sebab punca yang menyebabkan anda mencintai seorang manusia itu mestilah kerana dia amat taat kepada Allah, ataupun kerana dia dicintai di sisi Allah disebabkan amalan-amalannya yang baik. Tetapi bila orang itu bermaksiat kepada Allah, tentulah anda akan membencinya kerana dia menderhaka kepada Allah dan terkutuk di sisi Allah".

Untuk jatuh cinta kepada insan yang berlainan amat mudah, tetapi untuk cinta dan lakukan yang terbaik kepada Allah terasa juga kesusahannya, padahal Allah akan memberi ganjaran yang tidak terhingga di syurga kelak lantaran cinta yang kudus kepadaNYa.

Cinta terlahir dengan:
1-Mahabbah
kasih yang bertepi, terbatas,biasanya dialami oleh orang-orang yang dilanda cinta, namun itu semua mempunyai batasan, terutama batasan waktu. Seseorang yang mencintai kekasihnya (terutama yang belum menikah) akan merasakan betapa cinta pada saat kali ianya diungkapkan, berbeza dengan saat setelah dia menikah

2-Mawaddah
Kasih tidak bertepi. Kasih seorang ibu kepada anaknya.

3-Rahmat
Kasih tidak bertepi datangnya dari Khalik kepada makhluk

MenurutLawrence Durrell mengatakan bahawa cinta adalah sesuatu yang suci, indah dan bercahaya.

Ibrahim al-khawwash mengatakan cinta itu menghapuskan semua kehendak, membakar semua sikap dn keperluan, dn membenamkan dirinya dalam samudera isyarat.

Manshur al-hallaj berkata kepada Syibly ketika dia akan dibunuh dalam tungku api setelah dipenjara selama lapan belas hari, "Wahai syibly, cinta itu awalannya terbakar dan akhirnya terbunuh"

Jika ada dari sahabat yang kepeningan dalam masalah cinta yang datang secara tetiba ini, maka fikirkan dahulu adakah ianya berdasarkan Ilahi atau sebaliknya. Sekali datang amat mengkucar-kacirkan perasaan tetapi hadapilah ia dengan kematangan yang kita miliki. Kombinasi iman dan ilmu yang ada pada diri kita pergunakan sebaiknya. 'La yukallifullah nafsan illa wus'aha'

Sunday, April 12, 2009

Poligami isu yang tidak kehabisan

Sahabat aku ingin berpoligami, cuma aku belum bertanyakan kepadanya bersediakah dia untuk melaksanakan tanggungjawab yang besar itu? Sekiranya sudah bersedia aku turut menyokong kiranya keadilan dapat dilaksanakan sebaiknya dan sewajarnya dalam perkiraan dirinya. Aku secara peribadi bersetuju sahaja dengan poligami dengan bersyarat bukannya tanpa syarat. Semampu dengan kadar yang ada pada sisuami, dan pastikan tidak berlaku penganiayaan kepada mana-mana pihak samada pihak pertama, kedua dan seterusnya.


Isu ini telah aku perbincangkan sebelum ini dengan ustaz (bekas pimpinan di Mesir), poligami penting dalam situasi hari ini kerana terlampau ramai wanita dengan nisbah lelaki, perempuan ini berhak juga mengecapi alam rumahtangga, maka perkongsian suami akan berlaku. Jika menjadi isteri pertama, keutamaan hati menjadi isu. Maka soal amanah anak, nafkah menjadi isunya. Maka bukan suatu yang mudah juga untuk dilakukan. Kiranya suami memerlukan isteri yang lebih dari satu maka pengorbanan dari isteri pertama perlu dilakukan, takkan hendak membiarkan suami melakukan dosa melalui telefon, sms, e-mail, chatting dan seumpamanya. Kiranya lakukan dengan peranan bersama bukannya dari satu pihak sahaja. Maka isteri perlu rasional dalam menangani perkara tersbut, dan suami memerlukan redha atau persetujuan dari pelbagai pihak, isteri, keluarga sebelah isteri dan keluarga bagi pihaknya juga.

Sisuami juga harus berperanan sewajarnya bila mengambil keputusan untuk berpoligami, sekurangnya jika ahli jemaah jangan sampai kerja-kerja terbengkalai lantaran beristeri lebih, atau anda hilang dari jalan yang anda pilih. Ingat betapa di belakang lelaki yang berjaya adalah perempuan yang menolak dari belakang. Jika pilihan tersebut tidak berdasarkan empat perkara yang Rasulullah sebutkan, tidak kemana juga poligami yang anda ingin lakukan atau sedang anda lakukan. Aku bukan ingin menjadi negatif dengan banyak isu-isu yang berlaku kini yang agak mencemaskan tetapi ini adalah hukum dari Allah, jika anda memilihnya maka pilihlah dengan berlandaskan syariat yang bertepatan. Sekurang-kurangnya pilihan anda adalah pilihan dari Allah jua. Lakukan istikharah walau anda terasa pilihan anda itu tepat.

Thursday, April 9, 2009

Kabinet baru?

Kabinet baru telah diumumkan oleh Perdana Menteri baru Malaysia sebentar tadi. Ada muka baru ditonjolkan dan juga muka lama yang digugurkan. Lantaran tidak dipilih dalam persidangan UMNO lepas menyebabkan tidak dapat bertahan di kerusi menteri. Tapi yang peliknya yang menang di ersidangan UMNO pun tidak naik lantaran berlalian team barangkali.

Khairy tidak terpilih untuk menduduki mana-mana kerusi menteri, dimana silapnya? Hanya sebagai mennatu bekas Perdana Menteri atau tidak mendapat restu Tun Mahadhir? Segala ramalan boleh dilepaskan asal jangan terISA dengan analisis yang dikeluarkan. Negara ini negara yang tidak sepenuhnya demokrasi, maka tidak boleh sewenangnya melepas kan sesuatu dari mulut dan fikiran.

Demokrasi hanya dipelajari tetapi tidak dilaksanankan secara tinggi peratusnya. Makanya pekerja Islam perlu bekerja dengan lebih keras lagi demi kemanangan dan kemenangan kebangkitan Islam yang kita inginkan.

Tahniah untuk semua penyokong Islam

Selama berhari-hari bertugas sebagai petugas pilihanraya, akhirnya Allah memberi kemenangan kepada parti Islam. Aku bersama sahabat round kawasan membuang undi hampir seluruh Parlimen Bukit Gantang, melihat dan membuat kesimpulan itu semestinya. Aku menaiki pajero YB Cikgu Rahim, maka sedikit menarik perhatian orang ramai. Sampai di kawasan tempat pengundian ada kalanya kami di booo oleh penyokong UMNO, tetapi kami hanya melambai dan tersenyum, huu rasa bengkak juga dalam hati tetapi kami hanya di boo bukannya di lempar dengan sesuatu atau disakiti. Tapi itu lah akhlak yang ditunjukkan. Tapi pastinya kesabaran perlu tinggi dalam melaluinya. Aku terkadang kagum dengan pimpinan PAS kerana walau dimaki tetap menunjukkan akhlak yang terbaik. beginilah pejuang Islam, penegak agama Allah pasti akan melaluinya detik-detik menyakitkan walau sedikit. Kalau pejuang Islam tidak diduga maka bukan pejuang namanya.

Peratus pengundi yang keluar hanya 40% pada sebelah tengah hari, dari info Perak fm. Dalam jam 2 lebih kedengaran satu upu kalah. Aku sudah lemah seluruh badan, semangat terasa berkurangan, rasanya nak balik bilikan gerakan, lelapkan mata. Tapi rahmat Allah mengatasi segalanya sebelum maghrib rasa semangat sedikit, aku pujuk diri mungkin kemenangan berpihak kepada kita? Maghrib dapat sms yang kita menang 3 upu. Semangat semakin mendatang, dan aku dapat sms dari sahabatku yang belajar di Mesir, dari Malaysiakini.com, kita menang dengan majoriti 2 ribu lebih. Maka aku terus sujud syukur dan kukhabarkan kepada sahabat-sahabat yang berada di bilik gerakan. Malamnya kami ke Taiping demi mendengar keputusan dari SPR. Alhamdulillah dengan Dato' Seri Nizar=21860 Ismail Safain=19071 Bebas=62, majoriti 2789.

Kemenangan ini adalah ujian, ujian dalam menjaga rakyat dengan memberi sumbangan, ujian dari harapan rakyat yang tinggi menggunung kepada PAS, ujian kita melaksanakan apa yang dijanjikan. Semoga segala ujian tersebut dapat dilepasi dengan melakukan kerja-kerja kebajikan kepada rakyat Bukit Gantang. ALLAH AKBAR!!!

Thursday, April 2, 2009

Semasa penamaan calon 29/03/09






Seketika di Bukit Gantang

Tempoh hari semasa bertugas di Bukit Gantang aku mengiringi YB k'Zailah dan YB k'Ani memantau perjalanan petugas di seluruh DUN di Bukit Gantang. Kita melihat keadaan petugas di sana, ada yang mengalami masalah lantaran suasana yang cukup berbeza dari Kelantan. Tetapi aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas Kelantan yang bertungkus-lumus bekerja demi memenangkan Parti Islam Semalaysia (PAS) juga demi Islam yang ingin kita pertahankan hingga ke titisan darah yang terakhir.

Dari satu DUN ke satu DUN memang agak berjarak maka keletihan terpancar di wajah kedua YB ini, tetapi demi melihat gerak kerja serta memberi peransang kepada petugas mereka teruskan langkah. Dan ini sebagai sumber semangat kepada diriku juga. Aku didatangkan dengan pelbagai pertanyaan dari sahabat bagaimana kemampuan PAS untuk mennag? Aku hanya mampu menjawab usaha dulu dengan sebaik-baik usaha mungkin 200% dan kita akan melihat hasilnya. Bukan berpuas hati atau ada perasaan tidak pasti atas kemenangan tetapi sekarang ini masa yang masih ada kita perlu husnu-zhon dan berpandangan positi demi sebuah kemenangan. Allah tidak akan tanya menang atau kalah tetapi kita berusaha atau sebaliknya.

Maka munajat kita semua petugas parti dan sahabat-sahabat yang tidak sempat bersama kami lafazkan doa dan munajat demi pertolongan dari kejauhan. Ucapakan hasbiallah wa ni'mal wakil sebanyak mungkin yang kalian mampu. Khususnya kepada pilihanraya Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.