Wednesday, February 25, 2009

Sakitnya sebuah kehidupan

Nenek aku umurnya 100 tahun lebih atau kurang tidak ku tahu secara tepatnya. Dalam mengharungi sakit tua itu menyebabkan kami sentiasa berada bersamanya. Maka seluruh sanak-saudara datang menziarahi, bermula cerita titih-waris oleh bapa saudaraku. Sambil aku turut berkenalan dengan sepupu-sepupu ayahku yang agak ramai bilangannya, hingga ke negara Thailand. Saudaraku di sana sudah lama tidak dijenguk, memandangkan aku kalut dengan urusan kehidupanku, parti, kerja dan seumpamanya menyekat perhubungan tersebut serta suasana di selatan Thailand yang tidak mengizinkan untuk aku ke sana.

Hubunganku dengan nenek sebelah ayahku kurang mesra lantaran kami tidak tinggal di kampung dan nenekku ini lebih menumpukan perhatiannya kepada cucu dari anak bongsunya. Kami tidak pernah rasa marah atau cemburu dengan kelebihan kasih-sayang tersebut kerana nenek sebelah ibuku lebih menyayangi kami ('',). Tetapi apabila nenek dalam kesakitan sebegini kami tetap bersama nenek, ibuku bermula minggu lepas bersamanya membantu apa yang patut, walaupun status menantu tapi tanggungjawab tetap dilaksanakan sebaiknya.

Malam tadi nenek ketenatan, solat hajat dan bacaan yasin diadakan, aku dan adik-adikku tak sempat menyertai solat hajat kerana menunggu adikku balik kerja. Kami adik-beradik kecuali adikku yang perempuan bekerja di selangor mengelilinginya sambil mengurut-ngurut dan nenekku meminta kami membacakan yasin, maka kami bergilir-gilir membaca yasin. Mamaku berkata nenek tidak tidur seharian, selepas kami membacakan yasin nenekku melelapkan mata, selepas itu kami pulang untuk kerja esok harinya.

Menunggu kematian tidak dapat kunukilkan di sini bagaimana perasaannya. Dalam menanti kematian tidak pasti bagaimana kesudahannya, dan bagaimana suasana di kubur dan hari menanti buku amalan kebaikan atau keburukan. Dalam mengharungi kehidupan seharian terkadang mati tiada dalam ingatan, maka Saiyidina Umar menganjurkan agar bermuhasabah sebelum tidur, maka bagaimana mati menjenguk sekiranya kita masih bermasalah dengan sahabat dan anak-beranak. Cubalah untuk memberi kemaafan dan meminta maaf, lembutkan hati kita kerana hidup di dunia ini bukan segalanya, kerana akhirat kelak bakal kita hadapi juga akhirnya.

No comments: