Thursday, November 13, 2008

MENCUBA SESUATU YANG BARU


Maaf sebab layout blog asyik bertukar ganti, mencuba sesuatu yang baru sebenarnya. Apa pun blog ini sedaya upaya di update kan. Hari ini aku telah mengikuti 'Seminar Rumahtangga Berkat' di panelkan oleh panelis tersohor Negeri Kelantan, Peguam Che Rosmah, Ustaz Suratemi dan Ustaz Azhar. Banyak input yang kuperolehi dari seminar berkenaan. Berkat? Dalam keberkatan pada yang sedikit atau banyak. Apabila nasi dimakan perlu dihabiskan / dilicinkan kerana terdapat berkat di sana. Aku melihat orang Arab memang mengambil kira keberkatan contohnya 'ish (roti Arab) walau sudah jatuh ke tanah tetap diambil kerana sekiranya dibuang takut turut terbuang keberkatan yang Allah berikan.

Selepas wafat Rasulullah telah meninggalkan gandum kepada Sayyidatina Aisyah, gandum tersebut boleh bertahun selama beberapa minggu, sedangkan gandum tersebut tidaklah terlalu banyak. Maka menjadi satu kepelikan kepada Sayyidatina Aisyah, maka beliau pun menyukatnya. Selepas sukat gandum tersebut habis. Di sini boleh juga dikatakanana apabila gandum berkenaan diambil tetapi tetap tidak berkurangan.

Bagaimana keberkatan rumahtangga? Mengikut YB Mohd Amar tadi gaji bekerja sebagai petani, punyai 8 orang anak mampu menyekolahkan anak hingga ke menara gading (kesemuanya). Itulah keberkatan yang Allah berikan. Maka dalam kehidupan yang yang sesingkat ini , berkat perlu atas nama kerja yang dibuat adalah kerana Allah. Berkeluarga kerana Allah, berkawan kerana Allah, bergaduh kerana Allah, berpisah dan bertemu juga kerana Allah, bekerja kerana Allah, dan segalanya kerana Allah. Maka Allah tidak akan sia-siakan hambaNya yang melakukan segala kerja buat di dunia ini keranaNya.

Tuesday, November 11, 2008

Pantun

Aku baru selesai membaca buku cerita :> noor suraya. Lalu aku rasa tertarik jari untuk menaip dan menyalin pantun-pantun yang terdapat di dalam bukunya, diizinkan minta-minta dari k'su..
seorang sahabatku suka kepada pantun dan setiap skripnya terdapat pantun. Maka penceramah tersohor Kelantan (k'shimah) selalu membaca pantunnya.

Banyak orang mengetam pulut,
hamba seorang mengetam padi,
banyak orang karam di laut,
hamba seorang karam di hati

di waktu malam memasang dupa,
dupa dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidakkan kulupa,
bagaikan rambut bersimpul mati

selat teduh lautan tenang,
banyak berlabuh perahu Acheh,
Jangan keluh jangan dikenang,
Walaupun hati terasa pedih

asap api tabur menabur,
meredang lada bersimpul pulih,
taruh kaca tangkainya embun,
dipandang ada, diambil tak boleh

banyak orang menjerat pulut,
hamba seorang menjerat ubi,
tuan bercakap sedap di mulut,
hamba mendengar sakit di hati

kalau ke hulu sama berakit
ke mudik sama bersenda
kalau kutahu bercinta sakit
tidakku cuba sedari mula

kalau pinang masih muda
rasanya kelat sudah pasti
kalau hilang kekasih lama
carilah yang lain sebagai ganti

anak punai anak merbah
turun mari membuat sarang
anak sungai lagikan berubah
inikan pula hatinya orang

antara padi jangan semantung
di situ sorak, abang tukarkan
antara hati dengan jantung
di situ adik, abang tinggalkan

buah ketupat berisi inti,
santapan puteri muda remaja,
sudah dapat hajat di hati
seumur hidup biarlah bersama

tanam pinang rapat-rapat
biar mudah puyuh berlari
kalau kupinang tak dapat-dapat
kupujuk-pujuk ku bawa lari

anak itik terenang-renang
anak tengiri di dalam perahu
saya juga terkenang-kenang
orang benci saya tak tahu

limau purut letak di pangkal
batang selasih condong uratnya
hujan ribut dapat kusangkal
hati yang kasih apa ubatnya

berapa tinggi pucuk pisang
tinggi lagi asap api
berapa tinggi burung terbang
tinggi lagi harapan di hati

hamba menunggu si uteh datang
datang si uteh di sawah padinya
hamba tak mahu berkasih sayang
orang berkasih lemah hatinya?

huh..jiwang gak pantun-pantun di dalam novel k'su, sempat juga aku melayan novel di waktu genting ini. Pelepas lelah untuk menyedut suatu idea manusia berjiwa penulis. Tak salah kan? idea tidak didatangkan tanpa penelitian dari suatu peristiwa yang berlaku (ikut objektif masing-masing kan), mungkin idea makna bagi seseorang berlainan, so itulah perbezaan yang menyeronokkan alam. Just giv n take

Hikmat kata



"Tatkala engkau dilahirkan engkau menangis, manakala orang lain tersenyum berjuanglah sehingga engkau dapat tersenyum dan orang lain pula menangis"

-HAMKA-

"Kegagalan semalam bererti pendorong, namun kejayaan semalam bkanlah bererti kemegahan. Oleh itu, rendahkanlah dirimu serendah-rendah rumput di bumi dan gantungkanlah cita-citamu setinggi bintang di langit"
-AL-KINDI-


Menjengah muka




Kuliah Banat (tempatku menadah ilmu selama ini) dan Rumah Kelantan Baru (pusat program anak-anak Kelantan di Mesir

Dalam 2, 3 hari ini aku tidak sempat update blog ini. Tetapi hari ini ada sedikit ruang untukku mencoret sedikit rasa dalam merasa apa yang dirasa dengan suasana yang berada disekeliling. Adik-adik yang pulang bercuti (ada yang sudah tamat belajar) ingin membuat Projek Bakti Siswa al-Azhar. Maka aku pun memSMS sahabat-sahabat yang sudah pulang dan bekerja di merata tempat di bumi Malaysia untuk mencukupkan dana, dengan menderma. Pelbagai respon yang kuperolehi, hampir semuanya ingin membantu dan menyumbang. Tetapi hari ini satu kejutan yang kudapat. Ku terima SMS mengatakan usahaku tidak kena kerana minta duit dari mereka, jadi aku terus menelefon sahabatku itu. Alumni mana yang buat PBSA? Nak minta duit baru SMS, hmm aku terus balas, nak bagi, bagi..kalau tak nak bagi diam aje lah. Takkan aku nak jembo (jumpa) semua ysorang-sorang list yang ada dalam handphone aku. Hmm rasa jugak dengan perangai sahabat-sahabatku yang pernah menuntut di al-Azhar ini. Nampak gaya tarbiah di sana tidak mengubah perangai? Mungkin mengubah fikrah. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh saifulIslam..mungkin benar. Sahabatku ada memforward email tentang gejala alumni al-Azhar yang tidak mampu memberi ilmu kepada masyarakat dan bermasalah dalam penyampaian ilmu. Hendak juga aku membalas email kepadanya rugi jugak lah beliau berkawan denganku, kerana aku juga alumni al-Azhar. Takkan aku nak merasakan jiwa sahabatku pula. Aku tidak suka berbalas kata melalui pena, baik sahaja melalui lidah. Puas hati. Tapi terima kasih kak, akak kenal saya (yang tidak akan berbuat demikian, dengan membalasnya, tapi muhasabah diri).

Juniorku ramai yang balik tahun ini, bahagia juga rasanya (sebenarnya), kerana masyarakat akan terbela dengan kembalinya mereka ke bumi Kelantan. Salah seorang juniorku yang pernah ditarbiah bersamaku kembali ke tanah air, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak (aku pun belum jumpa dengannya). Satu hari aku bercakap dengan suaminya, aku minta zaujahnya hadir mesyuarat PBSA (Projek Bakti Siswa al-Azhar). Zaujnya berkata "ana tak bagi zaujah ana bergerak, cukup jaga anak kat rumah" ZUP! Bagai belati menghiris hatiku. Inikah kalam pimpinan yang pernah memimpin pelajar semasa di Mesir (yang baru sangat berada di bumi kelahirannya). Apakah tugas wanita hanya berada d rumah dan beranak? Bagaimana dengan kaum muslimat yang memerlukan ilmu khususnya dari muslimat juga. Cukupkah tenaga yang ada pada lelaki sahaja untuk menerangkan hukum yang masih samar untuk dimengertikan oleh rakyat Kelantan khusususnya. Dan kalam itu yang diucapkan seminggu yang lalu masih terasa di lubuk hati. Aku akan mudah terasa dengan kalam yang berkait dengan Islam,jemaah dan maruah. Kalau aku bisa mengaibkan manusia lain baik aku mengundur diri. Tapi pelik kalam seumpama ini perlu disedarkan. Maka doa dan petunjuk perlu dilahirkan demi melihat adikku ini sedar bahawa tanggungjawabnya meliputi keluarga dan masyarakat. Jangan sampai membawa fitnah kepada Islam. Mungkin kejadian ini menjadi iktibar buat diriku bahawa dalam mengemudi rumahtangga memerlukan komunikasi dan saling faham memahami dalam konteks memberi ilmu kepada masyarakat. Isteriku bukan milikku seratus peratus, dan suamiku bukan milikku seratus peratus. Hati yang satu itu perlu dibahagi kepada bebarapa bahagian, jika kecewa dengan suami atau isteri tidak kecewa seratus peratus. Dalam situasi ku ini ku boleh berkata sebarangan kerana aku tidak punya komitmen kepada insan bernama suami, tapi kalam-kalam yang dilontar moga dengan suatu doa buatku agar aku bisa membahaginya dengan saksama.

لا يكلف الله نفسا الا وسعها

Allah akan menguji hambaNya yang mampu menghadapi ujian yang didatangkan khususnya untuknya. Ujian yang datang dengan pelbagai bentuk, ibubapa, suami, isteri, anak, sahabat, kerjaya, jemaah dan sebagainya. Maka jangan mudah berbangga dengan diri sekiranya anda memiliki suami yang memahami, ana telah berjaya dalam hidup. Bahkan anda diuji dengan kebahagian yang anda perolehi. Takut terjatuh dalam riya' yang membakar pahala bersama kegembiraan yang didakwa anda.. bahagia.

Begitulah sahabat, dalam kehidupan ini segalanya perlu dinilai dengan hati, ilmu dan iman bila semua yang berada di depan kita. Jika tergelincir pakat-pakat angkat sahabat bukan biarkan ia tergelincir lalu jatuh kesakitan. Buat sahabat yang biasa terasa dengan lidahku, maafku pinta, terus-terang merupakan sifatku yang terkadang baik juga malapetaka pada persahabatan. Jika ingin menegur silakan. Tapi ada suatu sudut yang aku mudah terasa dengan apabila kumemberi cakna pada sahabat tapi tiba masa yang tidak sesuai sahabat boleh mengatakan aku tidak sebaik yang disangka. Terasa luluh juga perasaan. Maka aku akan menyendiri, memberi masa untuk kembali bersahabat seperti biasa. Tapi aku cepat melupakan sekiranya sahabat juga melupakan sakit hati itu..

Thursday, November 6, 2008

Tarbiah awlad ii

6-Pendidikan ruhani
^ Ibubapa perlu mengambil perhatian dalam pendidikan ruhani anak-anak kerana ianya berkaiatan perkembangan perasaan, kegemaran, rasa, emosi anak-anak. Maka tidak hairanlah anak-anak akan menjadi seorang yang suci peribadi, jauh dari penyakit hati seperti dengki, hasad, sombong dan sebagainya. Pendidikan tersebut adalah rentetan kepada rasa takut dan khauf kepada Allah dengan akan menjaga dirinya dari melakukan maksiat kepada Allah Taala.

انما المؤمنون الذين اذا ذكر الله وجلت قلوبهم واذا تليت عليهم اياته زادتهم ايمانا وعلى ربهم يتوكلون
الأنفال 2

Maksud:Sebenarnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang ketika disebut nama Allah hatinya penuh ketakutan, dan apabila dibacakan kepadanya keterangan-keterangannya, bertambah keimanannya kerana itu, dan mereka mempercayakan dirinya kepadanya.

7-Pendidikan kemasyarakatan
^ Iaitu bagaimana untuk berada dalam masyarakat yang terdapat golongan muda, tua, besar, berpengaruh, orang kampong, berilmu, jahil dan sebagainya, mampu bergaul tanpa rasa segan dan malu. Tidak kekok apabila berada dalam majlis yang ada orang tua. Pernah Sayyidina Umar membawa masuk Ibn Abbas ke majlis sahabat-sahabat yang lebih tua.
Ibubapa perlu menanam sikap pada anak-anak bagaimana untuk kasih kepada makhluk dan tolong-menolong dalam melakukan kebaikan.

8- Pengajaran seni ukir
^ Seni bertukang, mengukir menyulam perlu diajar kepada anak-anak. Juga seni bercucuk tanam, berniaga, seni bina, komputer, internet ilmu-ilmu tersebut adalah fardhu kifayah diajar kepada mereka.
Firman Allah Taala dalam Surah An-nisa' ayat 6

وابتلوا اليتامى حتى اذا بلوا النكاح فان انستم منهم رشدا فادفعوا اليهم اموالهم

Maksud:Dan ujilah anak-anak yatim itu sampai mereka dewasa, dan kalau kamu telah menganggap mereka mengerti (dewasa), serahkanlah kepada mereka hartanya.

9- Pendidikan emosi
^ Emosi merupakan perasaan dalaman manusia yang akan bersifat suka, duka, gembira, sedih, tenang, bergolak, memikirakan orang lain, keakuan (ananiah), sayang, cinta, benci perlu di didik ibubapa sebaiknya mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh ad-din.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Tidak beriman seorang kamu sehingga ia menyayangi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya.

Wednesday, November 5, 2008

HAMKA

"Jangan takut jatuh kerana yang tak pernah jatuh memanjatlah yang tak pernah jatuh.
jangan takut gagal kerana yang tak pernah gagal hanyalah orang yang tak pernah cuba melangkah.
Jangan takut salah kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua"

Perasaan jatuh dan gagal pernah kurasai ketika belajar, bukan dialam persekolahan di bumi Malaysia tapi Ardhu Kinanah Mesir. Merasai kegagalan di tahun pertama. Perit amat terasa dengan perasaan yang tak dapat digambarkan. Namun dengan kegagalan tersebut rasanya hati lebih cekal untuk mencuba dan terus mencuba demi meraih kejayaan. Ujian kegagalan adalah untuk memantapkan hati, tapi ujian persahabatan dan ukhuwwah adalah sehebat ujian juga. Terkadang boleh diharungi tapi terkadang kalah dengan dugaan yang melanda. Tapi proses tersebut akan Allah datangkan demi mengangkat hambaNya ke martabat yang lebih tinggi.

Monday, November 3, 2008

Wasiat Imam Syafie R.A

1-Ilmu adalah suatu yang bermanfaat dan bukannya ilmu apa yang dilafaz semata-mata

2-Kebaikan itu ada pada 5 perkara iaitu:
^mampu mengawal diri
^menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain
^menggunakan rezki yang halal
^berserah diri kepada Allah
^menyakini segala kekuasaan Allah

3-Imam Syafie telah ditanya tentang tabiat yang suka menggunakan tongkat, sedangkan beliau bukanlah seorang yang uzur, maka beliau menjawab: Ini bertujuan agar aku sentiasa mengingati bahawa hidup di dunia hanya sebagai musafir yang pasti akan kembali kepada Allah

4-Perkara yang mesti ada pada pemimpin ada lima iaitu:
^benar dalam percakapan
^menjaga rahsia
^menunaikan segala janji
^sentiasa memberi nasihat
^menunaikan kewajipan yang diamanahkan

5-Keredhaan manusia sukar untuk engkau capai dan bukanlah bermakna selamat daripada lidah manusia sudah boleh dianggap sudah mencapai jalan kepada mendapat keredhaan mereka. Oleh itu engkau hendaklah melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan sentiasalah berbuat demikian