Sunday, November 30, 2008

Konvesyen Pendakwah Muslimah Malaysia

Jumaat yang berkat, aku beserta rombongan muslimat Kelantan bertolak ke Kuala Lumpur untuk mengikuti konvesyen selama satu hari di Taman Melewar. Sampai jam 10 malam dan menginap di Anjung Rahmat. Konvesyen dirasmikan oleh Ketua Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang menekankan peranan pendakwah khususnya dari tenaga muslimah seluruh negara berperanan meningkatkan tahap keilmuan dan peranan yang perlu dilakukan.
Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Ustaz Idris Hj. Ahmad AJK PAS Pusat, yang bertajuk "Dakwah kickstart". Kukutip sedikit dari kertas kerja yang dibentang oleh al-Ustaz dengan objektif dakwah ialah:
^supaya memahami bahawa Islam adalah agama berdakwah
^dakwah adalah permulaan manusia untuk mengajak orang mengenal Allah
^merasa bahawa tanggungjawab berdakwah bukan hak milik orang tertentu sahaja dalam parti malahan ia hak semua ahli
^menyedari bahawa dalam berdakwah ia bermula dari abjadiat (ABC)
^kewujudan manusia tanpa berjasa samalah seperti haiwan, hidup manusia perlu tinggal jasa, jasa kita kepada Islam adalah berdakwah
^supaya semua yang menempatkan diri kita dalam jemaah sebagai satu medan dan tidak menganggur dan bermalasan
^menyedari bahawa pekerjaan awal adalah susah untuk memulainya, tetapi setelah lama ia berhasil maka ia akan mudah untuk merintis jalan bagi meranapkan jahiliah dan menegakkan Islam

Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W "khaatibunnas 'ala 'ukulihim" bercakaplah / bermualamatlah dengan manusia mengikut pemikiran mereka. Cara bercakap atau berdakwah dengan orang kampung dan orang terpelajar ada bezanya. Bagaimana?cara itu perlu belajar secara teori dan dipraktikkan. Dalam dakwah teori tidak sama dengan praktikal. Semasa belajar aku terlalu banyak belajar teori dakwah, tapi apabila balik untuk menterjemahkan semua yang dipelajari bukan suatu yang mudah. Pertama kali mengajar muslimat di kampung, aku ditegur kerana bahasa yang digunakan tidak sampai atau tidak difahami. Memang susah, aku turun mendengar sendiri bagaimana ustazah halaqat mengajar makcik-makcik. Perlu satu-satu dan diulang-ulang. Begitu caranya, maka aku turunkan uslubku dan cuba untuk sampaikan maksud pengajaranku kepada mereka dengan cara yang mudah, dan aku masih lagi belajar untuk menjadi pengajar yang baik. Maka itu ialah ikhtiar, bukan bersandar kepada ikhtiar semata tapi ikhtiar perlu dalam melaksanakan sesuatu tujuan dengan berniatkan Allah sewajibnya.

Ustaz Idris juga menitipkan bahawa kunci dakwah kickstart perlu dilaksanakan dengan :

1-da'i mengenali selok belok mad'u dahulu
-mengenal latar belakang mad'u
-perlu mengambil bahagian dalam menyelesaikan suatu persoalan yang penting dengan cara yang baik
-kefahaman yang mendalam tentang selok-belok sasaran dakwah seperti psikologi, kebudayaan, kepercayaan dan keadaan sosial merea

2-mereka perlu diinsafkan tentang kewujudan Islam sebagai peraturan hidup
-manusia adalah berbeza dalam kecerdasan dan ilmu pengetahuan dan berbeza pula jalan fikiran dan daya kefahaman serta kemahuan dan bakatnya.

3-menerangkan kerosakan akidah punca berlaku kerosakan dunia pada hari ini.

4-kegagalan sistem ekonomi kapitalis liberal

5-kerosakan akhlak yang membimbangkan

6-kepada bukan Islam kita boleh menerangkan perkara-perkara yang merupakan kepentingan bersama mengenai hak-hak rakyat perlu ditonjolkan kepada mereka

Kursus-kursus kepada pendakwah khususnya kepada pendokong PAS perlu diadakan sentiasa demi melihatkan Islam boleh direalisasikan di bumi Malaysia ini. Dakwah akan tetap dilaksanakan sehingga akhir hidup ini. Tiada henti dalam menyedarkan manusia tentang hakikkat hidup di dunia ini.

Thursday, November 27, 2008

Ikhtiar

Istikharah...aku cuba istikharah buat sahabatku yang ku kira boleh aku kirakan dengan sahabat yang kukenal. Aku cuba melakukan cara yang tercepat untuk peroleh jawapan dari persoalanku. Menurut k'Zailah (Ketua Muslimat Kelantan) cara tercepat untuk dapatkan jawapan dari Allah Taala adalah dengan cara membaca al-Quran selepas solat. Malam tadi ketika bangun untuk bersahur, aku lakukan solat sunat dan solat istikharah dan meminta jawapan dari Allah, bagaimana sekiranya aku cuba satukan sahabat-sahabtku itu? Maka selepas solat aku mengambil al-Quran dan membukanya di sebelah kanan, dengan tidak ku tahu surah apa dan mukasurat berapa. Maka di situ aku temui jawapannya dengan cepat.

Itu satu cara untuk dapatkan jawapan dengan segera. Cara lain yang dengan solat istikharah selama 3 hari berturut-turut beserta solat hajat. Maka Allah akan datangkan melalui mimpi atau hubungan tersebut dipermudahkan. Tanda-tanda tersebut dengan tiada halangan dan pihak keluarga merestui.

Ada juga sahabatku yang pernah melakukan solat hajat sahaja tidak melakukan solat istikharah kerana dia takut dengan istikharah tersebut jawapan yang diingin bukan sepertimana yang di harapkan. Alhamdulillah jodohnya bersama orang yang dia impikan.

Aku biasa melakukan istikharah ketika menghadapi imtihan (peperiksaan). Kerana tidak tahu nak tekan pada muqarrar yang mana, jadi dengan istikharah aku mendapat petunjuk dariNya untuk menumpukan pada mukasurat atau tajuk yang bakal masuk imtihan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: Istikharahlah walau nak pakai kasut.

Istisyaarah atau istikharah, biasanya istisyarah digunakan pada tempat yang memerlukan jawapan segera. Contoh tetiba diajak sahabat untuk keluar makan, maka istisyaarah diguna dengan pandangan kita dan kesan positif atau negatifnya. Dalam kehidupan pemerhatian pada setiap perkara perlu dilakukan. Dalam mesyuarat biasanya penaakulan dengan istisyaarah dan istikharah diperlukan dan dilakukan. Terkadang dalam masa yang sama atau masa yang lain.
Dan jawapan yang datang perlu dari keputusan yang baik. Bukan senang untuk menghasilkan jawapan yang menyenangkan. Tapi pertalian dengan Allah Taala biasanya akan memandu kita ke arah jalan yang disenangi ramai Insyaallah. Maka kita tidak sepatutnya merasa marah atau tidak senang hati sekiranya kita melaksanakan sesuatu kerja atau program, dan muhasabahnya dari dari orang ramai menyakitkan telinga dan hati mendengar kerana kita bekerja untuk rakyat atas nama Islam. Tidak perlu merasa dan kita seharusnya lebih terbuka.

Seronok untuk menulis tapi perasaan bukannya plastik. Perasaan letak pada kaki? Terkadang boleh dibuat tapi sebenarnya bukan sesenang mengatakan dan menuliskannya. Kita bekerja dengan hati dan perasaan, tapi biarlah perasaan tersebut bukan 100% demi kerja kerana biarlah perasan tersebut bersandarkan kepada pastinya ada kegagalan, pastinya ada komen menyakitkan, pastinya ada khalal (cacat), tapi pastikan kerja tersebut bersandarkan 100% pada Allah Taala. Kiranya gagal tidaklah sakitnya melampau.

Rasanya dalam telahan aku, jangan dinadirkan istikharah pada diri, jangan hanya apabila ada orang bertanya baru hendak bertanya Allah. Kerana pastikan hati sentiasa bercakap dan bermuamalat dengan Allah Taala

Wednesday, November 26, 2008

Yoga: fatwa mengharamkan

Yoga? sebelum ini telah bermain di fikiranku bahawa senaman ini kuanggap haram, kerana ianya dari agama hindu. Rupanya anggapan itu adalah hakikat, apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkannya. Hari ini apabila membelek akhbar beberapa dalil faktor pengharamannya ku bacai.
Antara pengharamannya adalah penggabungan diantara pengamalnya dengan Tuhan, dengan gaya dan gerakan yang dibuat. Sepatutnya orang Melayu yang beragama Islam tidak memprotes keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Unsur-unsur yoga ke arah syubhah dalam akidah. Jika sekiranya senaman tersebut untuk kesihatan, maka tidak salah menggunakan senaman lain yang tidak menggunakan bacaan atau mentera yang tidak diketahui maknanya. Islam tidak mengajar umatnya melakukan sesuatu dengan jahil tanpa ilmu, sesuatu perkara adalah makruf (diketahui).

Apabila kita solat kita ma'ruf bahawa solat adalah difardhukan oleh Allah melalui kalamNya al-Quran dan hadith yang diterangkan oleh RasulNya. Jangan menghampiri syirik kerana perbuatan tersebut dosa yang tidak diampun melainkan taubat.

Tidak rugi untuk bertukar dari yoga kepada senaman yang tidak menekan kepada rohani atau tafakkur, kerana kalau rugi, rugi yang sungguh-sungguh, Rasulullah S.A.W pernah berpesan jangan sampai kita muflis bila mengadap Allah, muflis di sini ialah sifar pahala untuk dihadap mengadap Allah, betapa ruginya kita serugi-ruginya.

Petikan dari Beritaharian hari ini:

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin pada sidang media khas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, yoga yang diperkenalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi tidak sesuai bagi umat Islam kerana ada dua perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam iaitu kepercayaan untuk bersatu dengan tuhan dan mantera pemujaan.

"Kita harap umat Islam lebih berhati-hati dan segera menghentikan kerana dikhuatiri kalau tidak tahu matlamatnya (bersatu dengan tuhan) boleh menyebabkan kita menjadi sesat.

"Ada umat Islam yang mengamalkan yoga tetapi tidak tahu matlamat. Yoga mengandungi tiga peringkat iaitu ajaran untuk kesihatan, keduanya membersihkan jiwa dan kekuatan fizikal dan peringkat ketiga bersatu dengan tuhan," katanya.

Sesetengah ajaran yoga lain pula mendakwa yoga ialah penyatuan tenaga tersendiri dengan tenaga di luar iaitu tenaga alam sekitar. Bermakna yoga ialah koleksi teknik dan amalan kerohanian bertujuan untuk menyepadukan pemikiran, badan, jiwa, emosi dan kepercayaan.

Berdasarkan maklumat sumber Bahagian Penyelidikan Jakim itu lagi, matlamat tertinggi yoga ialah untuk mencapai nirvana atau moksha iaitu pelepasan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad. Ada tiga peringkat dalam kesedaran diri yang diberikan dalam Bhagavad Gita iaitu; Brahman: tenaga sejagat yang tidak bersifat peribadi, Paramatman: tuhan yang berada di pusat setiap hidupan, Bhagavan: tuhan sebagai satu personaliti, dengan bentuk kabur (trancendental).

Turut dijelaskan, fenomena yoga dikatakan mampu mengambil alih tempat agama bagi mengisi kekosongan jiwa dan rohani manusia itu sudah melahirkan kebimbangan kepada umat beragama.

Menjadi kewajipan majlis itu untuk memelihara akidah umat Islam dari segi niat, perkataan dan perbuatan berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, janganlah kamu membatalkan amalan kamu." (Surah Muhammad, ayat 33)

Ayat itu memerintahkan umat Islam tidak mempersia-siakan segala amalan kebaikannya dengan sengaja membiarkan diri terjebak ke dalam perbuatan syirik. Menurut Imam al-Razi, perkara yang membatalkan amalan ialah syirik.

Firman Allah yang bermaksud: "Sekiranya kamu melakukan syirik, maka gugurlah amalan kamu." (Surah al-Zumat, ayat 65)

Oleh itu, melakukan yoga tanpa kefahaman mendalam mengenai akidah Islam, dikhuatiri boleh membawa kepada syirik kerana yoga mempunyai matlamat penyatuan diri manusia dengan tuhan.

Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa menyerupai (bertasyabbuh) dengan suatu kaum, maka ia termasuk di kalangan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut Ibn Taimiyah, hadis ini dengan jelas menyebut larangan menyerupai orang kafir dalam hal berkaitan syiar agama mereka. Sedangkan yoga adalah sebahagian syiar ibadat agama Hindu.

Walaupun pengamal yoga mendakwa mereka mendapat manfaat tanpa sebarang unsur keagamaan luar, namun jalan itu dikhuatiri boleh menjejaskan akidah mereka sedikit demi sedikit.

Paling kurang berlakunya penyerupaan terhadap perbuatan agama Hindu walaupun dilakukan tanpa niat. Sedangkan mudarat akidah lebih besar daripada kebaikan manfaat kesihatan. Kesihatan fizikal mampu diperoleh walaupun bukan melalui senaman yoga.

Matlamat untuk memelihara kesihatan tidak boleh menghalalkan cara dan bagi tujuan memelihara kesihatan serta perubatan, Islam menegah umatnya menggunakan jalan atau perkara diharamkan.

Tuesday, November 25, 2008

Hari yang tiada mood untuk menulis

Beberapa hari ini, agak malas nak meluahkan rasa tangan, jadi ambil dari mana-mana simpanan untuk tatapan. Tidak tahu pula berapa hai lagi akan berkelakuan seperti ini.
Okey aku akan cari lagi tulisan yang boleh kita hayati di sini.

"kecantikan seorang wanita ialah terletak sejauhmana ia dapat menjada malu, lelaki pula ia dapat menahan marahnya"

Sabar terbahagi kepada 4:
*sabar menghadapi bala dunia

*sabar menghadapi hawa nafsu

*sabar mentaati Allah S.A.W

*sabar mengajak manusia ke jalan Allah

Monday, November 24, 2008

HATI

Firman Alah Taala yang bermaksud:
"(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia"

-al-ri'd:28

Diriwayatkan Ibrahim bin Adham telah berjalan-jalan di Kota Basrah. Tiba-tiba datang kepadanya orang ramai lalu salah seorang daripada mereka bertanya: "Kenapa kami berdoa tetapi Allah tidak memaqbulkan doa kami? Sesungguhnya Allah telah berfirman yang bermaksud, "Berdoalah kepadaku maka aku akan kabulkan".

Berkata Ibrahim bin Adham, "Wahai ahli Basrah! Sesungguhnya telah mati hati kamu disebabkan 10 perkara, maka bagaimana Allah akan memakbulkan doa kamu". Ibrahim berkata lagi:

1-Kamu mengenali Allah tetapi tidak menunaikan hakNya

2-Kamu membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengannya

3-Kamu disuruh menyintai Rasulullah tetapi kamu meninggalkan sunnahnya

4-Kamu disuruh menjauhi syaitan tetapi kamu mengingatinya

5-Kamu diminta memasuki syurga tetapi kamu menjauhinya

6-Kamu diminta menjauhi neraka tetapi kamu mencampakkan diri ke dalamnya

7-Kamu tahu mati itu benar tetapi kamu tiada persiapan baginya

8-Kamu sibuk dengan keaiban manusia tapi kamu melupakan keaiban diri kamu

9-Kamu kebumikan jenazah tetapi kamu tidak mengambil iktibar dengannya

10-Kamu bercerita tentang rahmat Allah tetapi kamu tidak mensyukurinya

Sunday, November 23, 2008

Sedikit peringatan buat kita

Diambil dari Majalah Cahaya

Hak-hak yang perlu dijaga dalam persahabatan:-

· Memenuhi hajat dan keperluannya dengan senyuman dan gembira

· Menjaga lidah seperti tidak mengumpat atau memperkatakan keaibannya kepada orang lain

· Menahan lidah dan mulut dari berkata sesuatu yang tidak disukainya kecuali dalam hal untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran

· Berterus-terang kepadanya bahawa anda mengasihinya kerana Allah

· Mendoakannya samada ketika hayatnya atau selepas kematiannya sepertimana berdoa untuk kesejahteraan diri sendiri

· Jujur dan ikhlas bersahabat dengan berterusan walaupun selepas kematiannya iaitu dengan mengasihi ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya

· Meringankan iaitu tidak memberatkannya dengan perkara yang di luar kemampuannya

Thursday, November 20, 2008

Berubah demi perubahan

Khamis yang basah. Hujan turun tanpa henti bermula dari semalam. Namun tulisan ini tetap diteruskan demi idea perlu digarap untuk tidak dikeringkan. Perbincangan dengan penggerak parti tadi tetiba menyebabkan minda ini terus bergerak-gerak memikir dan berfikir tentang pokok isu yang diketengahkan.

Perlukah berubah untuk satu perubahan? Dulu aku lain sekarang aku terus-terusan berlainan. Berubah dari penampilan, gaya berfikir, gaya hidup dan sahabat sekeliling? Perlu atau tidak, tepuk diri tanya iman masing-masing.

Dengan status ijazah dan pimpinan pelajar satu ketika dahulu menyebabkan parti mengangkat dengan meletakkan seseorang individu tersebut di tempat yang elok. Dalam pimpinan parti umpamanya. Aku melihat (dari pandanganku) muslimin meletakkan perkara ini sebagai aula, tapi sebaliknya di pihak muslimat. (Mungkin membangkitkan isu dengan tulisan ini) Tidak mengapa rasa minda perlu diluahkan.

Dalam proses pertarbiahan walau setinggi mana pangkat seseorang, dia perlu bermula dari tahap amilin (pekerja), selepas mengikuti beberapa siri pertarbiahan, pangkatnya secara perlahan akan dinaikkan. Contoh pelajar kampus yang baru graduan perlu bermula dari bawah dalam parti umpamanya, melakukan kerja-kerja seperti kutip sampah, sediakan minuman, ajk bawah, susun kerusi dan seumpamanya. Pelajaran ini tidak akan kekok buatnya jika dia dinaikkan tahap ke pengerusi majlis, penceramah, setiusaha DUN atau kawasan, muslimat atau pemuda atau ulamak. Pernah terkeluar dari kalam seseorang sahabat, naik tinggi-tinggi jikalau terjatuh tidak terbangun, membahayakan dirinya dan parti. Kita takut ada sahabat yang mutaasaqitun 'ala toriki da'wah, na'uzubillah.

Sahabat sekeliling tidak perlu kita ubah dengan drastik, cari sahabat yang boleh menegur bukan, berani menegur dan mengubah kita ke jalan yang lebih baik. Walau susah untuk dicari sahabat seumpama ini tapi usaha untuk mencari sahabat seperti ini. Tidak rugi sakit hati bila ditegur tapi akan bermasalah sekiranya kita terus bengkok pada jalan yang lurus.

Aku terkadang dalam dilema apabila perkara ini ditimbulkan. Aku berjumpa dengan sahabt-sahabat yang baru (dalam perkenalan), sahabat sekampus, seuniversiti ramai yang terbang mengisi kekosongan jawatan dan matlamat hidup. Maka terkontang-kanting juga dalam memulakan persahabatan. Tapi aku tidak kerugian kerana di sekelilingku adalah mereka yang membangunkan Islam di Kelantan khususnya, alim dalam parti. Alhamdullilah pujian jua pada Allah. Tapi bagaimana sahabatku yang berada di jalan yang benar (dalam parti yang betul) tapi tersesat dalam mengendalikan peraturan hidup. Walau mereka orang yang berijazah, berilmu, berketrampilan dan berstatus. Inginku tegur maka kutegur melalui tulisan ini. Jangan sampai kita berubah menyebabkan keketaraan yang melampau. Jika ada sahabat yang menegur itu tanda kita masing disayangi oleh sahabat, cuba jangan tidak mengendahkan segala nasihat, kerana sahabat yang cuba menasihati kita adalah sebenarnya sahabat.

Wednesday, November 19, 2008

WANITA DARI SUDUT PANDANG AL-QARDAWI




Dipetik dari majalah I

Pada pandangan al-Qardawi, Islam telah meletakkan satu pengiktirafan yang sangat besar terhadap golongan wanita. Malah menurut al-Qardawi wanita turut memikul beban syariat yang sama seperti lelaki. Mereka diperintahkan oleh Allah, menegakkan agamanya, melaksana kewajiban, menjauhi laranganNya, berhenti pada batasan-batasanNya, menyeru manusia pada agama Allah, menyeru manusia pada jalan Allah, menyuruh pada yang maaruf dan mencegah pada yang mungkar.

Al-Qardawi juga menyatakan semua perintah agama diturunkan kepada lelaki dan perempuan kecuali jika ada dalil yang mengkhususkan kepada wanita sahaja.

Peranan muslimah

Wanita di zaman ini perlu memainkan peranan yang sama penting dengan lelaki dalam bidang amal Islami. Beliau mengungkapkan sirah yang menunjukkan peranan wanita dalam penyebaran Islam sepertimana yang dilakukan oleh Khadijah, orang pertama yang membenarkan ajaran yang dibawakan oleh Rasulullah dan Sumayyah syuhada' pertama dalam Islam. Peranan wanita tidak sekadar terhenti di situ, malah wanita juga turut terlibat secara langsung dalam beberapa siri peperangan di jalan Allah, seperti Perang Uhud dan Hunain serta peperangan yang lain.


Justeru, Al-Qardawi menyeu kaum wanita agar kembali kepada peranan mereka yang asal dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan Islam pada zaman ini. Pada al-Qardawi wanita tidak seharusnya sekadar melihat sahaja kaum lelaki melaksanakan amal Islami, malah mereka juga perlu berpartisipasi dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Allah.Bukankah Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 195 yang bermaksud:

"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya):"Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain, maka orang-orang yang berhijrah ((kerana menyelamatkan agamaNya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan pelbagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang sabil)-sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah, dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".


Sabda Rasulullah S.A.W: "Sesungguhnya kaum wanita itu adalah saudara kaum lelaki"

(Hadith riwayat Ahmad, Turmizi, Abu Dawud dan Ad-Darimi)


Al-Qadawi turut menyinggung peranan yang dimainkan oleh wanita Yahudi, Kristian dan komunis yang sanggup berkorban dan bekerja demi memperjuangkan ajaran mereka. Al-Qardawi mencadangkan 3 usul untuk diperhatikan oleh muslimah:


1-Bekerjasama dengan sesama wanita untuk menyedarkan kaum wanita dan mempersiapkan mereka untuk membantu agama ini dan seterusnya memberikan sumbangan dalam amal islami.


2-Peranan dalam sistem keluarga. Peranan mendidik anak dan suami untuk mentaati Allah dan rasulNya. Seandainya ada dalam keluarga wanita tersebut yang bergelumang dalam aktiviti dakwah, maka wanita tersebut mempunyai peranan yang amat besar sebagaimana isteri para salafussoleh.


3-Muslimat berperanan penting dalam masyarakat dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan masyarakat. Misalnya seorang muslimat itu seorang dai'e, atau pendidik, sasterawan, maka mereka boleh berperanan dengan memasukkan nilai Islam dalam pekerjaan yang mereka kerjakan. Seandainya mereka tidak mempunyai kebolehan tersebut, mereka boleh juga berperanan walaupun sangat kecil seperti batu-batu kelikir yang menganggu jalan dakwah.


Akhirnya Al-Qardawi mengatakan betapa peranan besar yang dimainkan muslimah kerana mereka mempunyai potensi yang sama sekali tidak ada pada kaum lelaki. Beliau mengungkapkan bagaimana al-Quran menceritakan peranan Ratu Balqis yang memerintah negara Saba' dengan hikmah dan keberaniannyatelah memimpin kaumnya sepertimana yang termaktub dalam Surah an-Naml.

Tuesday, November 18, 2008

Antara kaum di bumi Tok Guru




Maaf selama beberapa hari tidak mengupdate blog ini. kekangan waktu menyebabkan blog ini tidak sempat di update. Sabtu lepas program pejabat bersama kaum India di Guchil, Kuala Krai. Tok Guru datang merasmikan program tersebut yang diberi nama Pemimpin Bersama rakyat Sempena Deepavali 2008. Dalam pertama kali dalam hidupku program bersama kaum India di Kelantan. Kehadiran hampir 1000 lebih kaum India Kelantan.

Dimulakan dengan ucapan aluan dari Exco Kerajaan Negeri YB Dr. Mohamad Fadzli Dato' Hassan, wakil kaum India Tharuman a/l Raman dan ucapan perasmian oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tok Guru berkata selama beliau berada di Kelantan tidak pernah berlaku huru-hara antara kaum, kaum Cina dan melayu yang hidup sekampung saling tolong-menolong, sampaiakn nama kaum Cina dipanggil dengan nama Melayu seperti Hasan, Loh dan sebagainya. Kita sendiri pun maklum bahawa dialek percakapan mereka adalah dialek Kelantan yang lebih kelate dari orang Kelantan.

Ini merupakan satu berkat kehidupan yang diberikan Allah kepada rakyat Kelantan. Berkat dengan kepimpinan Ulamak yang ada.

Pertunjukan seni kebudayaan India turut dipertontonkan kepada umum, serta pertandingan kolum. Sebanyak 20 penyertaan yang dibuat sempena program tersebut.

Friday, November 14, 2008

Usrah proses tarbiah




Usrah i-J telah mengadakan qiam di rumah salah seorang ahli usrah kami. Beberapa bulan sudah kami berusrah dan kali ini disempatkan dengan izin Allah Taala untuk kami mengadakan qiamullail. Secara peribadi untuk bangun qiam begitu susah lantaran kesibukan waktu bekerja ini. Sewaktu alam belajar qiam merupakan rutin bagi hidup. Runsing juga memikirkan diri yang semakin malas untuk bangun malam. Sekiranya terlepas bangun malam aku akan pastikan mengqada' amalan sunat seperti zikir, solat sunat, baca quran dan sebagainya. Waktu solat fardhu pastikan awal. Pernah juga kukenali seseorang yang aktif bangun malam tapi apabila solat fardhu dilewat-lewatkan. Itu silap perhitungan sebenarnya.

Inginku kongsikan sedikit dari usrahku sekarang, buat masa ini aku mengikuti usrah gabungan (muslimat negeri), usrah muslimat DUN Bunut Payong dan usrah Intelek Juang. Kesemua usrah ini aku sayang, tapi yang paling aku sayang adalah usrah Intelek Juang. Kami boleh berkongsi ilmu yang tidak dapat kubincangkan dalam usrah muslimat. Dengan title diploma atau ijazah yang dimiliki oleh ahli kami dapat kami mengupas pelbagai tajuk dengan baik atau hampir baik.
Permulaan usrah aku bukan bermula dengan taaruf yang lama, kami bermula dengan tajuk perbincangan dalam buku dan isu-isu semasa. Selepas dari itu kami bertaaruf dan mengenal dengan lebih dekat. Sorohah (frankly) ku katakan betapa aku sayangkan usrah ini. Pernah juga aku ditanya bagaimana untuk menguatkan hati di antara sahabat. Aku berkata terkadang kita dikurnia rasa atau mungkin chemistry? Itu aku tidak pasti tetapi yang pasti dalam ukhuwwah tersebut ada talian kasih yang dicampakkan Allah. Susah untuk dijelas tapi itu adalah hakikat yang kurasa.

Contohnya semasa persembahan pentomin yang usrah kami pertontonkan di PUTIK menjelaskan kepadaku satu ikatan wujud di antara kami. Tugas ku bersama dua orang lagi sahabat (Ainan dan Ida) memainkan peranan di balik tabir, dan kami berada di bilik P.A. Di antara slot ke slot ada clue yang kami tetapkan (untuk pelakon keluar). Satu slot para pelakon tidak keluar, jadi kami kat atas memanggil nama pelakon (tanpa mikrofon) yang sepatutnya keluar dari tabir. Tapi kuasa Allah, suara kami didengari.

Pemberian Allah buat kami yang sentiasa berpegang dengan taliNya, dengan sentiasa menghidupkan usrah (Insyaallah). Hanya itu yang kami mampu. Ahli usrahku dari pelbagai bidang, doktor, guru, pekerja parti dan sebagainya, Semoga usrah Intelek Juang diberkati Allah sentiasa.

Proses pentarbiahan yang paling berkesan adalah melalui usrah. Teguran dari sahabat perlu untuk pembaikian diri dari semasa ke semasa. Selama permukimanku di Kaherah, aku mengaut pengalaman sebagai anak usrah dan naqibat. Usrah terakhir di Mesir menyeronokkan bagi diriku. Walaupun aku sebagai naqibat tapi aku tetap seperti ahli yang lain, membaca manhaj usrah, mencari isu-isu yang perlu diketengahkan, membuat homework atas hukum-hukum yang dikupas oleh usrah kami. Dan kami dari pelbagai negeri, dari Perak, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Kenangan menggamit kembali, terasa rindu pada kenangan sewaktu berpersatuan di sana. Tidak mungkin untukku kembali lagi, tapi ilmu-ilmu yang dikutip sebelum inilah yang membuatkan aku terus berada dalam parti, dan moga-moga untuk selamanya.

Thursday, November 13, 2008

MENCUBA SESUATU YANG BARU


Maaf sebab layout blog asyik bertukar ganti, mencuba sesuatu yang baru sebenarnya. Apa pun blog ini sedaya upaya di update kan. Hari ini aku telah mengikuti 'Seminar Rumahtangga Berkat' di panelkan oleh panelis tersohor Negeri Kelantan, Peguam Che Rosmah, Ustaz Suratemi dan Ustaz Azhar. Banyak input yang kuperolehi dari seminar berkenaan. Berkat? Dalam keberkatan pada yang sedikit atau banyak. Apabila nasi dimakan perlu dihabiskan / dilicinkan kerana terdapat berkat di sana. Aku melihat orang Arab memang mengambil kira keberkatan contohnya 'ish (roti Arab) walau sudah jatuh ke tanah tetap diambil kerana sekiranya dibuang takut turut terbuang keberkatan yang Allah berikan.

Selepas wafat Rasulullah telah meninggalkan gandum kepada Sayyidatina Aisyah, gandum tersebut boleh bertahun selama beberapa minggu, sedangkan gandum tersebut tidaklah terlalu banyak. Maka menjadi satu kepelikan kepada Sayyidatina Aisyah, maka beliau pun menyukatnya. Selepas sukat gandum tersebut habis. Di sini boleh juga dikatakanana apabila gandum berkenaan diambil tetapi tetap tidak berkurangan.

Bagaimana keberkatan rumahtangga? Mengikut YB Mohd Amar tadi gaji bekerja sebagai petani, punyai 8 orang anak mampu menyekolahkan anak hingga ke menara gading (kesemuanya). Itulah keberkatan yang Allah berikan. Maka dalam kehidupan yang yang sesingkat ini , berkat perlu atas nama kerja yang dibuat adalah kerana Allah. Berkeluarga kerana Allah, berkawan kerana Allah, bergaduh kerana Allah, berpisah dan bertemu juga kerana Allah, bekerja kerana Allah, dan segalanya kerana Allah. Maka Allah tidak akan sia-siakan hambaNya yang melakukan segala kerja buat di dunia ini keranaNya.

Tuesday, November 11, 2008

Pantun

Aku baru selesai membaca buku cerita :> noor suraya. Lalu aku rasa tertarik jari untuk menaip dan menyalin pantun-pantun yang terdapat di dalam bukunya, diizinkan minta-minta dari k'su..
seorang sahabatku suka kepada pantun dan setiap skripnya terdapat pantun. Maka penceramah tersohor Kelantan (k'shimah) selalu membaca pantunnya.

Banyak orang mengetam pulut,
hamba seorang mengetam padi,
banyak orang karam di laut,
hamba seorang karam di hati

di waktu malam memasang dupa,
dupa dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidakkan kulupa,
bagaikan rambut bersimpul mati

selat teduh lautan tenang,
banyak berlabuh perahu Acheh,
Jangan keluh jangan dikenang,
Walaupun hati terasa pedih

asap api tabur menabur,
meredang lada bersimpul pulih,
taruh kaca tangkainya embun,
dipandang ada, diambil tak boleh

banyak orang menjerat pulut,
hamba seorang menjerat ubi,
tuan bercakap sedap di mulut,
hamba mendengar sakit di hati

kalau ke hulu sama berakit
ke mudik sama bersenda
kalau kutahu bercinta sakit
tidakku cuba sedari mula

kalau pinang masih muda
rasanya kelat sudah pasti
kalau hilang kekasih lama
carilah yang lain sebagai ganti

anak punai anak merbah
turun mari membuat sarang
anak sungai lagikan berubah
inikan pula hatinya orang

antara padi jangan semantung
di situ sorak, abang tukarkan
antara hati dengan jantung
di situ adik, abang tinggalkan

buah ketupat berisi inti,
santapan puteri muda remaja,
sudah dapat hajat di hati
seumur hidup biarlah bersama

tanam pinang rapat-rapat
biar mudah puyuh berlari
kalau kupinang tak dapat-dapat
kupujuk-pujuk ku bawa lari

anak itik terenang-renang
anak tengiri di dalam perahu
saya juga terkenang-kenang
orang benci saya tak tahu

limau purut letak di pangkal
batang selasih condong uratnya
hujan ribut dapat kusangkal
hati yang kasih apa ubatnya

berapa tinggi pucuk pisang
tinggi lagi asap api
berapa tinggi burung terbang
tinggi lagi harapan di hati

hamba menunggu si uteh datang
datang si uteh di sawah padinya
hamba tak mahu berkasih sayang
orang berkasih lemah hatinya?

huh..jiwang gak pantun-pantun di dalam novel k'su, sempat juga aku melayan novel di waktu genting ini. Pelepas lelah untuk menyedut suatu idea manusia berjiwa penulis. Tak salah kan? idea tidak didatangkan tanpa penelitian dari suatu peristiwa yang berlaku (ikut objektif masing-masing kan), mungkin idea makna bagi seseorang berlainan, so itulah perbezaan yang menyeronokkan alam. Just giv n take

Hikmat kata



"Tatkala engkau dilahirkan engkau menangis, manakala orang lain tersenyum berjuanglah sehingga engkau dapat tersenyum dan orang lain pula menangis"

-HAMKA-

"Kegagalan semalam bererti pendorong, namun kejayaan semalam bkanlah bererti kemegahan. Oleh itu, rendahkanlah dirimu serendah-rendah rumput di bumi dan gantungkanlah cita-citamu setinggi bintang di langit"
-AL-KINDI-


Menjengah muka




Kuliah Banat (tempatku menadah ilmu selama ini) dan Rumah Kelantan Baru (pusat program anak-anak Kelantan di Mesir

Dalam 2, 3 hari ini aku tidak sempat update blog ini. Tetapi hari ini ada sedikit ruang untukku mencoret sedikit rasa dalam merasa apa yang dirasa dengan suasana yang berada disekeliling. Adik-adik yang pulang bercuti (ada yang sudah tamat belajar) ingin membuat Projek Bakti Siswa al-Azhar. Maka aku pun memSMS sahabat-sahabat yang sudah pulang dan bekerja di merata tempat di bumi Malaysia untuk mencukupkan dana, dengan menderma. Pelbagai respon yang kuperolehi, hampir semuanya ingin membantu dan menyumbang. Tetapi hari ini satu kejutan yang kudapat. Ku terima SMS mengatakan usahaku tidak kena kerana minta duit dari mereka, jadi aku terus menelefon sahabatku itu. Alumni mana yang buat PBSA? Nak minta duit baru SMS, hmm aku terus balas, nak bagi, bagi..kalau tak nak bagi diam aje lah. Takkan aku nak jembo (jumpa) semua ysorang-sorang list yang ada dalam handphone aku. Hmm rasa jugak dengan perangai sahabat-sahabatku yang pernah menuntut di al-Azhar ini. Nampak gaya tarbiah di sana tidak mengubah perangai? Mungkin mengubah fikrah. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh saifulIslam..mungkin benar. Sahabatku ada memforward email tentang gejala alumni al-Azhar yang tidak mampu memberi ilmu kepada masyarakat dan bermasalah dalam penyampaian ilmu. Hendak juga aku membalas email kepadanya rugi jugak lah beliau berkawan denganku, kerana aku juga alumni al-Azhar. Takkan aku nak merasakan jiwa sahabatku pula. Aku tidak suka berbalas kata melalui pena, baik sahaja melalui lidah. Puas hati. Tapi terima kasih kak, akak kenal saya (yang tidak akan berbuat demikian, dengan membalasnya, tapi muhasabah diri).

Juniorku ramai yang balik tahun ini, bahagia juga rasanya (sebenarnya), kerana masyarakat akan terbela dengan kembalinya mereka ke bumi Kelantan. Salah seorang juniorku yang pernah ditarbiah bersamaku kembali ke tanah air, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak (aku pun belum jumpa dengannya). Satu hari aku bercakap dengan suaminya, aku minta zaujahnya hadir mesyuarat PBSA (Projek Bakti Siswa al-Azhar). Zaujnya berkata "ana tak bagi zaujah ana bergerak, cukup jaga anak kat rumah" ZUP! Bagai belati menghiris hatiku. Inikah kalam pimpinan yang pernah memimpin pelajar semasa di Mesir (yang baru sangat berada di bumi kelahirannya). Apakah tugas wanita hanya berada d rumah dan beranak? Bagaimana dengan kaum muslimat yang memerlukan ilmu khususnya dari muslimat juga. Cukupkah tenaga yang ada pada lelaki sahaja untuk menerangkan hukum yang masih samar untuk dimengertikan oleh rakyat Kelantan khusususnya. Dan kalam itu yang diucapkan seminggu yang lalu masih terasa di lubuk hati. Aku akan mudah terasa dengan kalam yang berkait dengan Islam,jemaah dan maruah. Kalau aku bisa mengaibkan manusia lain baik aku mengundur diri. Tapi pelik kalam seumpama ini perlu disedarkan. Maka doa dan petunjuk perlu dilahirkan demi melihat adikku ini sedar bahawa tanggungjawabnya meliputi keluarga dan masyarakat. Jangan sampai membawa fitnah kepada Islam. Mungkin kejadian ini menjadi iktibar buat diriku bahawa dalam mengemudi rumahtangga memerlukan komunikasi dan saling faham memahami dalam konteks memberi ilmu kepada masyarakat. Isteriku bukan milikku seratus peratus, dan suamiku bukan milikku seratus peratus. Hati yang satu itu perlu dibahagi kepada bebarapa bahagian, jika kecewa dengan suami atau isteri tidak kecewa seratus peratus. Dalam situasi ku ini ku boleh berkata sebarangan kerana aku tidak punya komitmen kepada insan bernama suami, tapi kalam-kalam yang dilontar moga dengan suatu doa buatku agar aku bisa membahaginya dengan saksama.

لا يكلف الله نفسا الا وسعها

Allah akan menguji hambaNya yang mampu menghadapi ujian yang didatangkan khususnya untuknya. Ujian yang datang dengan pelbagai bentuk, ibubapa, suami, isteri, anak, sahabat, kerjaya, jemaah dan sebagainya. Maka jangan mudah berbangga dengan diri sekiranya anda memiliki suami yang memahami, ana telah berjaya dalam hidup. Bahkan anda diuji dengan kebahagian yang anda perolehi. Takut terjatuh dalam riya' yang membakar pahala bersama kegembiraan yang didakwa anda.. bahagia.

Begitulah sahabat, dalam kehidupan ini segalanya perlu dinilai dengan hati, ilmu dan iman bila semua yang berada di depan kita. Jika tergelincir pakat-pakat angkat sahabat bukan biarkan ia tergelincir lalu jatuh kesakitan. Buat sahabat yang biasa terasa dengan lidahku, maafku pinta, terus-terang merupakan sifatku yang terkadang baik juga malapetaka pada persahabatan. Jika ingin menegur silakan. Tapi ada suatu sudut yang aku mudah terasa dengan apabila kumemberi cakna pada sahabat tapi tiba masa yang tidak sesuai sahabat boleh mengatakan aku tidak sebaik yang disangka. Terasa luluh juga perasaan. Maka aku akan menyendiri, memberi masa untuk kembali bersahabat seperti biasa. Tapi aku cepat melupakan sekiranya sahabat juga melupakan sakit hati itu..

Thursday, November 6, 2008

Tarbiah awlad ii

6-Pendidikan ruhani
^ Ibubapa perlu mengambil perhatian dalam pendidikan ruhani anak-anak kerana ianya berkaiatan perkembangan perasaan, kegemaran, rasa, emosi anak-anak. Maka tidak hairanlah anak-anak akan menjadi seorang yang suci peribadi, jauh dari penyakit hati seperti dengki, hasad, sombong dan sebagainya. Pendidikan tersebut adalah rentetan kepada rasa takut dan khauf kepada Allah dengan akan menjaga dirinya dari melakukan maksiat kepada Allah Taala.

انما المؤمنون الذين اذا ذكر الله وجلت قلوبهم واذا تليت عليهم اياته زادتهم ايمانا وعلى ربهم يتوكلون
الأنفال 2

Maksud:Sebenarnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang ketika disebut nama Allah hatinya penuh ketakutan, dan apabila dibacakan kepadanya keterangan-keterangannya, bertambah keimanannya kerana itu, dan mereka mempercayakan dirinya kepadanya.

7-Pendidikan kemasyarakatan
^ Iaitu bagaimana untuk berada dalam masyarakat yang terdapat golongan muda, tua, besar, berpengaruh, orang kampong, berilmu, jahil dan sebagainya, mampu bergaul tanpa rasa segan dan malu. Tidak kekok apabila berada dalam majlis yang ada orang tua. Pernah Sayyidina Umar membawa masuk Ibn Abbas ke majlis sahabat-sahabat yang lebih tua.
Ibubapa perlu menanam sikap pada anak-anak bagaimana untuk kasih kepada makhluk dan tolong-menolong dalam melakukan kebaikan.

8- Pengajaran seni ukir
^ Seni bertukang, mengukir menyulam perlu diajar kepada anak-anak. Juga seni bercucuk tanam, berniaga, seni bina, komputer, internet ilmu-ilmu tersebut adalah fardhu kifayah diajar kepada mereka.
Firman Allah Taala dalam Surah An-nisa' ayat 6

وابتلوا اليتامى حتى اذا بلوا النكاح فان انستم منهم رشدا فادفعوا اليهم اموالهم

Maksud:Dan ujilah anak-anak yatim itu sampai mereka dewasa, dan kalau kamu telah menganggap mereka mengerti (dewasa), serahkanlah kepada mereka hartanya.

9- Pendidikan emosi
^ Emosi merupakan perasaan dalaman manusia yang akan bersifat suka, duka, gembira, sedih, tenang, bergolak, memikirakan orang lain, keakuan (ananiah), sayang, cinta, benci perlu di didik ibubapa sebaiknya mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh ad-din.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Tidak beriman seorang kamu sehingga ia menyayangi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya.

Wednesday, November 5, 2008

HAMKA

"Jangan takut jatuh kerana yang tak pernah jatuh memanjatlah yang tak pernah jatuh.
jangan takut gagal kerana yang tak pernah gagal hanyalah orang yang tak pernah cuba melangkah.
Jangan takut salah kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua"

Perasaan jatuh dan gagal pernah kurasai ketika belajar, bukan dialam persekolahan di bumi Malaysia tapi Ardhu Kinanah Mesir. Merasai kegagalan di tahun pertama. Perit amat terasa dengan perasaan yang tak dapat digambarkan. Namun dengan kegagalan tersebut rasanya hati lebih cekal untuk mencuba dan terus mencuba demi meraih kejayaan. Ujian kegagalan adalah untuk memantapkan hati, tapi ujian persahabatan dan ukhuwwah adalah sehebat ujian juga. Terkadang boleh diharungi tapi terkadang kalah dengan dugaan yang melanda. Tapi proses tersebut akan Allah datangkan demi mengangkat hambaNya ke martabat yang lebih tinggi.

Monday, November 3, 2008

Wasiat Imam Syafie R.A

1-Ilmu adalah suatu yang bermanfaat dan bukannya ilmu apa yang dilafaz semata-mata

2-Kebaikan itu ada pada 5 perkara iaitu:
^mampu mengawal diri
^menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain
^menggunakan rezki yang halal
^berserah diri kepada Allah
^menyakini segala kekuasaan Allah

3-Imam Syafie telah ditanya tentang tabiat yang suka menggunakan tongkat, sedangkan beliau bukanlah seorang yang uzur, maka beliau menjawab: Ini bertujuan agar aku sentiasa mengingati bahawa hidup di dunia hanya sebagai musafir yang pasti akan kembali kepada Allah

4-Perkara yang mesti ada pada pemimpin ada lima iaitu:
^benar dalam percakapan
^menjaga rahsia
^menunaikan segala janji
^sentiasa memberi nasihat
^menunaikan kewajipan yang diamanahkan

5-Keredhaan manusia sukar untuk engkau capai dan bukanlah bermakna selamat daripada lidah manusia sudah boleh dianggap sudah mencapai jalan kepada mendapat keredhaan mereka. Oleh itu engkau hendaklah melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan sentiasalah berbuat demikian