Wednesday, December 10, 2008

'Idil adha dan pengorbanan

'Idil adha kali ini seperti 'idil adha yang sebelumnya, melaksanakan ibadat kurban sama ada kambing atau lembu. Sepatutnya pengertian kurban lebih mendalam lagi pada kali ini, kerana hari ini biarlah baik dari semalam, wasiat dari Rasulullah S.A.W. Bicara dari alim ulamak' mengatakan bahawa kita perlu menyembelih sifat binatang dalam diri kita melalui ibadat kurban. Apa yang ada pada sifat binatang itu? sifat nafsu yang tiada batasan, tamak, dengki, riya', sombong dan sebagainya.

Sifat mazmumah yang perlu dihapuskan. Memang sifat-sifat ini amat payah untuk disembelih tapi jihad untuk memeranginya perlu dilaksanakan sentiasa dan setiap detik waktu. Pasti akan datang sifat riya' umpamanya, lantaran kita orang penting dalam melaksana sesuatu organisasi umpamanya. Atau kita orang yang dijadikan rujukan oleh sahabat-sahabat dalam sesuatu keputusan, maka riya' muncul tanpa dipinta-pinta, na'uzubillah istighfar sebelum ia memakan segala amalan yang dilakukan oleh kita sebelum ini. Jangan sampai kita menjadi orang muflis, bukan harta atau pangkat tetapi amalan pahala.

Jihad terbahagi kepada dua, jihad menentang nafsu ammarah dan lawwamah dan jihad menentang musuh secara terang-terangan. Jihad yang pertama amat susah untuk dilakukan, namun semua mukallaf perlu menentangnya atau meredakan dari terus merajai perasaan dan perbuatan kita. Maka tasbih dan tahmid tidak sepatutnya lekang dari bibir dan hati penganut Islam ini. Maka tidak rugi untuk kita mengamalkan zikir harian mengikut hari contoh hari ni rabu zikir astaghfirullah 'azim sebanyak 1,000 kali. Kiranya sahabat sudah tahu zikir harian yang aku katakan di sini.

Kurban? aku teringat aku telah melakukan ibadat kurban unta ketika belajar di al-Azhar. Tidak tahu bila lagi akan aku lakukan kurban unta. Bagaimana perasaaan? tidak tahu untuk dilukiskan, merasa berada di zaman terdahulu. Mungkin, mungkin juga aku melakukan di Mekah nanti, tidak tahu bila dan adakah waktu yang dinantikan itu. Hati ini sudah terasa untuk menjejak Mekah dan Madinah, tapi hanya Allah jua yang mengaturnya. Ketika wukuf di Masjid Ismaili, Tumpat, hati seakan berada di Padang Arafah dan dita'kidkan lagi apabila melihat slide yang ditayangkan oleh Ustaz Azhar. Biarpun jauh beribu batu dari Tanah Suci tapi harapan moga diperkenankan Allah doa yang satu iaitu berada di Mekah dan Madinah bumi suci kelahiran Rasullullah S.A.W dan tempat ibadat muslim.

Bagi sahabat yang pernah melakukan ibadat haji dan umrah, betapa beruntungnya kalian. Doakan sahabat ini untuk turut melangkah ke sana.

No comments: