Tuesday, December 2, 2008

Musim tengkujuh





Setiap akhir tahun pasti negeri-negeri Pantai Timur menghadapi musim tengkujuh. Bala dari Allah dan peringatan yang didatangkan agar manusia tidak terlalu leka dalam kenikmatan yang diberikan.

Briget Perdana kembali berperanan bagi membantu mangsa banjir semasa dan selepas banjir. Briget merupakan pasukan pemantau di bawah Pengarah YB Cikgu Din. Tahun lepas aku hanya sempat turun membersihkan kesan banjir di Rantau Panjang dan Tumpat. Ketidaksempatan untuk bersama sahabat dalam Briget semasa banjir (berada di pusat-pusat pemindahan banjir) kerana kekalutan dalam melaksanakan program wukuf. Tahun ini program wukuf diadakan di Masjid Ismaili, Tumpat pada 7 Disember 2008. Program ini khusus buat muslimat Negeri Kelantan. Program bermula jam 9 pagi hingga zuhur, dirasmikan oleh YAB Tuan Guru Dato' MB.

Pengalaman sahabat yang berada di pusat pemindahan banjir mengkhabarkan tentang peratus tidak solat bagi mangsa banjir hampir 90%, astaghfirullah. Adakah solat hanya pada masa senang, tidak dilakukan ketika darurat? Solat diwajibkan dalam apa jua keadaan. Perkara ini merisaukan kita. Ujian yang didatangkan Allah untuk merapatkan kita dengan Allah bukannya menjauhkan dariNya.

Aku pun pelik juga dengan situasi masyarakat kita, contohnya jika ceramah diadakan pada jam 3petang, maka ceramah tersebut akan berakhir pada jam asar, maka para pendengar terus balik ke rumah tanpa solat berjemaah di surau atau di tempat ceramah, dengan alasan tidak ada kain solat. Apa salahnya jika solat dengan pakaian yang ada dibadan, jika sudah berstokin sudah tidak jadi kesalahan. Jika tidak memakai kain sembahyang bukannya solat tidak diterima. Syarat solat antaranya menutup aurat.

Maka kita berperanan memberi ilmu dan peringatan kepada masyarakat, kerana terlampau banyak perkara atau masalah yang tidak diketahui mereka. Tidak salah untuk bertanya dan jangan malu untuk bertanya.

Musim tengkujuh yang belum berakhir ini dimintakan dari Allah moga tidak mendaruratkan rakyat Kelantan, panjatkan doa sentiasa, jika ramai yang berdoa pasti ada doa-doa sahabat yang dimaqbulkan Allah.

No comments: