Wednesday, November 26, 2008

Yoga: fatwa mengharamkan

Yoga? sebelum ini telah bermain di fikiranku bahawa senaman ini kuanggap haram, kerana ianya dari agama hindu. Rupanya anggapan itu adalah hakikat, apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkannya. Hari ini apabila membelek akhbar beberapa dalil faktor pengharamannya ku bacai.
Antara pengharamannya adalah penggabungan diantara pengamalnya dengan Tuhan, dengan gaya dan gerakan yang dibuat. Sepatutnya orang Melayu yang beragama Islam tidak memprotes keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Unsur-unsur yoga ke arah syubhah dalam akidah. Jika sekiranya senaman tersebut untuk kesihatan, maka tidak salah menggunakan senaman lain yang tidak menggunakan bacaan atau mentera yang tidak diketahui maknanya. Islam tidak mengajar umatnya melakukan sesuatu dengan jahil tanpa ilmu, sesuatu perkara adalah makruf (diketahui).

Apabila kita solat kita ma'ruf bahawa solat adalah difardhukan oleh Allah melalui kalamNya al-Quran dan hadith yang diterangkan oleh RasulNya. Jangan menghampiri syirik kerana perbuatan tersebut dosa yang tidak diampun melainkan taubat.

Tidak rugi untuk bertukar dari yoga kepada senaman yang tidak menekan kepada rohani atau tafakkur, kerana kalau rugi, rugi yang sungguh-sungguh, Rasulullah S.A.W pernah berpesan jangan sampai kita muflis bila mengadap Allah, muflis di sini ialah sifar pahala untuk dihadap mengadap Allah, betapa ruginya kita serugi-ruginya.

Petikan dari Beritaharian hari ini:

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin pada sidang media khas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, yoga yang diperkenalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi tidak sesuai bagi umat Islam kerana ada dua perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam iaitu kepercayaan untuk bersatu dengan tuhan dan mantera pemujaan.

"Kita harap umat Islam lebih berhati-hati dan segera menghentikan kerana dikhuatiri kalau tidak tahu matlamatnya (bersatu dengan tuhan) boleh menyebabkan kita menjadi sesat.

"Ada umat Islam yang mengamalkan yoga tetapi tidak tahu matlamat. Yoga mengandungi tiga peringkat iaitu ajaran untuk kesihatan, keduanya membersihkan jiwa dan kekuatan fizikal dan peringkat ketiga bersatu dengan tuhan," katanya.

Sesetengah ajaran yoga lain pula mendakwa yoga ialah penyatuan tenaga tersendiri dengan tenaga di luar iaitu tenaga alam sekitar. Bermakna yoga ialah koleksi teknik dan amalan kerohanian bertujuan untuk menyepadukan pemikiran, badan, jiwa, emosi dan kepercayaan.

Berdasarkan maklumat sumber Bahagian Penyelidikan Jakim itu lagi, matlamat tertinggi yoga ialah untuk mencapai nirvana atau moksha iaitu pelepasan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad. Ada tiga peringkat dalam kesedaran diri yang diberikan dalam Bhagavad Gita iaitu; Brahman: tenaga sejagat yang tidak bersifat peribadi, Paramatman: tuhan yang berada di pusat setiap hidupan, Bhagavan: tuhan sebagai satu personaliti, dengan bentuk kabur (trancendental).

Turut dijelaskan, fenomena yoga dikatakan mampu mengambil alih tempat agama bagi mengisi kekosongan jiwa dan rohani manusia itu sudah melahirkan kebimbangan kepada umat beragama.

Menjadi kewajipan majlis itu untuk memelihara akidah umat Islam dari segi niat, perkataan dan perbuatan berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, janganlah kamu membatalkan amalan kamu." (Surah Muhammad, ayat 33)

Ayat itu memerintahkan umat Islam tidak mempersia-siakan segala amalan kebaikannya dengan sengaja membiarkan diri terjebak ke dalam perbuatan syirik. Menurut Imam al-Razi, perkara yang membatalkan amalan ialah syirik.

Firman Allah yang bermaksud: "Sekiranya kamu melakukan syirik, maka gugurlah amalan kamu." (Surah al-Zumat, ayat 65)

Oleh itu, melakukan yoga tanpa kefahaman mendalam mengenai akidah Islam, dikhuatiri boleh membawa kepada syirik kerana yoga mempunyai matlamat penyatuan diri manusia dengan tuhan.

Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa menyerupai (bertasyabbuh) dengan suatu kaum, maka ia termasuk di kalangan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut Ibn Taimiyah, hadis ini dengan jelas menyebut larangan menyerupai orang kafir dalam hal berkaitan syiar agama mereka. Sedangkan yoga adalah sebahagian syiar ibadat agama Hindu.

Walaupun pengamal yoga mendakwa mereka mendapat manfaat tanpa sebarang unsur keagamaan luar, namun jalan itu dikhuatiri boleh menjejaskan akidah mereka sedikit demi sedikit.

Paling kurang berlakunya penyerupaan terhadap perbuatan agama Hindu walaupun dilakukan tanpa niat. Sedangkan mudarat akidah lebih besar daripada kebaikan manfaat kesihatan. Kesihatan fizikal mampu diperoleh walaupun bukan melalui senaman yoga.

Matlamat untuk memelihara kesihatan tidak boleh menghalalkan cara dan bagi tujuan memelihara kesihatan serta perubatan, Islam menegah umatnya menggunakan jalan atau perkara diharamkan.

No comments: