Wednesday, November 19, 2008

WANITA DARI SUDUT PANDANG AL-QARDAWI




Dipetik dari majalah I

Pada pandangan al-Qardawi, Islam telah meletakkan satu pengiktirafan yang sangat besar terhadap golongan wanita. Malah menurut al-Qardawi wanita turut memikul beban syariat yang sama seperti lelaki. Mereka diperintahkan oleh Allah, menegakkan agamanya, melaksana kewajiban, menjauhi laranganNya, berhenti pada batasan-batasanNya, menyeru manusia pada agama Allah, menyeru manusia pada jalan Allah, menyuruh pada yang maaruf dan mencegah pada yang mungkar.

Al-Qardawi juga menyatakan semua perintah agama diturunkan kepada lelaki dan perempuan kecuali jika ada dalil yang mengkhususkan kepada wanita sahaja.

Peranan muslimah

Wanita di zaman ini perlu memainkan peranan yang sama penting dengan lelaki dalam bidang amal Islami. Beliau mengungkapkan sirah yang menunjukkan peranan wanita dalam penyebaran Islam sepertimana yang dilakukan oleh Khadijah, orang pertama yang membenarkan ajaran yang dibawakan oleh Rasulullah dan Sumayyah syuhada' pertama dalam Islam. Peranan wanita tidak sekadar terhenti di situ, malah wanita juga turut terlibat secara langsung dalam beberapa siri peperangan di jalan Allah, seperti Perang Uhud dan Hunain serta peperangan yang lain.


Justeru, Al-Qardawi menyeu kaum wanita agar kembali kepada peranan mereka yang asal dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan Islam pada zaman ini. Pada al-Qardawi wanita tidak seharusnya sekadar melihat sahaja kaum lelaki melaksanakan amal Islami, malah mereka juga perlu berpartisipasi dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Allah.Bukankah Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 195 yang bermaksud:

"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya):"Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain, maka orang-orang yang berhijrah ((kerana menyelamatkan agamaNya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan pelbagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang sabil)-sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah, dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".


Sabda Rasulullah S.A.W: "Sesungguhnya kaum wanita itu adalah saudara kaum lelaki"

(Hadith riwayat Ahmad, Turmizi, Abu Dawud dan Ad-Darimi)


Al-Qadawi turut menyinggung peranan yang dimainkan oleh wanita Yahudi, Kristian dan komunis yang sanggup berkorban dan bekerja demi memperjuangkan ajaran mereka. Al-Qardawi mencadangkan 3 usul untuk diperhatikan oleh muslimah:


1-Bekerjasama dengan sesama wanita untuk menyedarkan kaum wanita dan mempersiapkan mereka untuk membantu agama ini dan seterusnya memberikan sumbangan dalam amal islami.


2-Peranan dalam sistem keluarga. Peranan mendidik anak dan suami untuk mentaati Allah dan rasulNya. Seandainya ada dalam keluarga wanita tersebut yang bergelumang dalam aktiviti dakwah, maka wanita tersebut mempunyai peranan yang amat besar sebagaimana isteri para salafussoleh.


3-Muslimat berperanan penting dalam masyarakat dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan masyarakat. Misalnya seorang muslimat itu seorang dai'e, atau pendidik, sasterawan, maka mereka boleh berperanan dengan memasukkan nilai Islam dalam pekerjaan yang mereka kerjakan. Seandainya mereka tidak mempunyai kebolehan tersebut, mereka boleh juga berperanan walaupun sangat kecil seperti batu-batu kelikir yang menganggu jalan dakwah.


Akhirnya Al-Qardawi mengatakan betapa peranan besar yang dimainkan muslimah kerana mereka mempunyai potensi yang sama sekali tidak ada pada kaum lelaki. Beliau mengungkapkan bagaimana al-Quran menceritakan peranan Ratu Balqis yang memerintah negara Saba' dengan hikmah dan keberaniannyatelah memimpin kaumnya sepertimana yang termaktub dalam Surah an-Naml.

No comments: